Bot tunda ditahan lagi, lesen tamat tempoh
Bot tunda yang ditahan pasukan APMM Bintulu kerana menggunakan lesen perkapalan tamat tempoh pada Sabtu. - Gambar ihsan APMM
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Maritim Bintulu menahan sebuah bot tunda pada jarak 1.9 batu nautika dari muara Sungai Kemena pada Sabtu.
Pemangku Pengarah Zon Maritim Bintulu, Komander Maritim Effendy Mohamed Fadil hari ini, berkata dalam rodaan di sekitar perairan negara pada jam 1.20 tengah hari, pasukannya mengesan sebuah bot tunda yang berada dalam keadaan mencurigakan.
Ujarnya, sejurus menghampiri bot berkenaan, pasukan APMM Bintulu menjalankan pemeriksaan ke atas bot terbabit yang mana hasil semakan mendapati ianya menggunakan lesen perkapalan yang sudah tamat tempoh.
Turut ditahan jelasnya, tiga kru termasuk nakhoda yang terdiri daripada dua warga tempatan dan seorang warga Indonesia, yang berusia dalam lingkungan 37 hingga 53 tahun.
Difahamkan, warga Indonesia terbabit mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah.
Menurutnya, hasil semakan lanjut mendapati bot tunda terbabit pernah ditahan dan dikompaun kerana melakukan kesalahan yang sama pada tahun lepas.
"Bot tunda terbabit beserta kru kemudiannya ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut," jelasnya.
Kes ini katanya akan disiasat di bawah Ordinan Perkapalan Saudagar 1952 kerana beroperasi menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh.
Jika disabit kesalahan, kesemua individu terbabit boleh dikenakan denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi 1 tahun atau kedua-duanya.
utusanborneo.com.my/2021/08/22
|