KUALA TERENGGANU: Sektor pelancongan di Terengganu akan dibuka semula secara rasmi kepada individu sudah lengkap vaksinasi, mulai Rabu ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan dan Teknologi Digital negeri, Ariffin Deraman, berkata pembukaan sektor pelancongan itu meliputi pulau peranginan terkemuka seperti Pulau Kapas di Marang, Pulau Redang di Kuala Nerus dan Pulau Tenggol di Dungun, selain Tasik Kenyir di Hulu Terengganu.
"Sebenarnya, pulau telah dibuka awal bulan ini kepada individu yang lengkap vaksinasi tetapi aktiviti seperti 'snorkeling' dan 'diving' tidak dibenarkan, jadi ramai pengusaha memilih untuk tidak beroperasi.
"Justeru bermula 1 September ini, aktiviti berkenaan akan dibenarkan semula, namun penggiat dan pelancong perlu mematuhi peraturan serta prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyempurnakan program Solat Hajat Pembukaan Semula Sektor Pelancongan Terengganu Dalam Fasa Pelan Pemulihan Negara (PPN), di sini, malam tadi.
Mengulas lanjut, Ariffin berkata, antara SOP ditetapkan ialah hanya pelancong dalam negeri dan sudah lengkap vaksinasi dibenarkan, manakala pemilik premis perlu mematuhi protokol kesihatan umum bagi mencegah penularan COVID-19.
Selaras kebenaran pembukaan semula sektor pelancongan di negeri ini, katanya, inap desa dan hotel turut dibenarkan untuk beroperasi semula.
Bagaimanapun, beliau menjelaskan zoo, muzium, taman tema dan galeri seni masih belum dibenarkan beroperasi.
Katanya, Pulau Perhentian juga masih ditutup berikutan terdapat kes positif COVID-19 dalam kalangan penduduk pulau itu, sejak minggu lalu.
Dalam pada itu, Ariffin memaklumkan dengan slogan 'We Are Safe To Visit', kerajaan negeri akan sentiasa mempergiat aktiviti mempromosikan produk pelancongan di Terengganu bagi menghidupkan kembali industri itu, termasuk melalui media sosial.
Sementara itu berdasarkan data Persatuan Hotel Malaysia (MAH) cawangan Terengganu mengenai kadar purata penginapan hotel bagi tempoh Januari hingga Jun tahun ini pula, beliau berkata, negeri ini berada di tangga ketiga, iaitu 35 peratus, selepas Sarawak (62 peratus) dan Perlis (42 peratus).
"Kadar penginapan hotel di Terengganu dipacu oleh program kuarantin di hotel bagi pekerja sektor minyak dan gas yang perlu dikuarantin sebelum dan selepas pulang dari pelantar.
"Kira-kira 16 daripada 36 hotel di Terengganu yang berdaftar dengan MAH, terbabit dalam program kuarantin berkenaan," katanya. – BERNAMA