AKSI kategori di Paralimpik mula dipersoalkan. FOTO Agensi
Tokyo: Mereka seharusnya menjadikan sukan para ini lebih adil tapi sistem kategori membabitkan beberapa sukan kurang upaya di Paralimpik yang mengikut klasifikasi kecacatan semakin tidak disenangi.
Atlet renang Perancis, Theo Curin yang kehilangan kaki dan tangan bahagian bawah kerana meningitis ketika masih kecil, hadir di temasya Tokyo dengan perasaan yang tidak gembira dengan sistem bagaimana atlet dinilai.
"Semalam, dua orang perenang berenang dengan kedua-duanya mempunyai tangan dalam kategori S5. Anda tidak perlu menjadi bijak untuk memahami kerana dengan memiliki dua tangan akan banyak membantu anda," kata perenang berusia 21 tahun itu.
"Terdapat banyak ketidaksamaan yang menyakitkan hati saya dan sungguh tidak masuk akal," katanya.
Terdapat 10 jenis kecacatan yang diterima di Paralimpik, membabitkan fizikal, visual dan intelektual.
Tapi dalam setiap kategori terdapat sebilangan besar kemampuan yang boleh dipersoalkan, jadi atlet akan dibahagikan mengikut kelas dalam sistem yang ditetapkan bagi memastikan mereka bersaing dengan lawan yang mempunyai kemampuan yang hampir sama.
Dalam acara renang sebagai contohnya, setiap kelas mempunyai awal huruf - S untuk gaya bebas, kuak kupu-kupu dan kuak lentang. SB untuk kuak dada dan SM untuk rampaian diikuti dengan nombor di belakangnya.
Mereka yang mempunyai kecacatan fizikal akan dikategorikan dalam kelas 1 hingga 10 dengan angka yang lebih rendah semakin teruk tahap kecacatan itu.
Gangguan penglihatan bermula dari 11-13, manakala 14 adalah penanda aras untuk intelektual
Sistem ini rumit dan mengambil masa dengan sebilangan atlet tidak setuju.