Sungai Petani: Berselindung sebalik pekerjaan sebagai mekanik dan berniaga perabot, dua lelaki dikesan mencari wang sampingan mudah dengan mengedar dan memproses dadah bernilai lebih RM1 juta.
Bagaimanapun, perbuatan mereka terbongkar apabila kedua-duanya yang berusia 42 tahun ditahan dalam serbuan di dua rumah di Alor Setar, Khamis lalu.
Turut dirampas dadah heroin, heroin base dan syabu yang bernilai keseluruhan RM1.095 juta.
Susulan penahanan itu, suspek membawa polis ke sebuah rumah di daerah ini yang dijadikan makmal mini memproses dadah.
Ketua Polis negeri, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, polis menahan seorang lelaki dalam serbuan pertama di sebuah rumah di Alor Setar, pada 5.30 petang.
"Hasil pemeriksaan polis menemui satu plastik lutsinar mengandungi ketulan putih dipercayai heroin seberat 5.8 gram.
"Suspek kemudian membawa polis ke sebuah rumah di Alor Mengkudu dan menunjukkan dadah yang disimpan dalam kereta di rumah berkenaan," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda hari ini.
Menurutnya, pemeriksaan lanjut dalam but kereta terbabit menemui satu guni mengandungi 13 bungkusan plastik berisi heroin seberat kira-kira 5.8 kilogram (kg).
"Selain itu, kita turut menemui dua bungkus plastik mengandungi syabu dengan anggaran berat 200 gram serta dua botol berisi cecair memproses dadah.
"Hasil pemeriksaan lanjut, kita juga menahan seorang lelaki di rumah itu," katanya.
Beliau berkata, susulan daripada itu suspek turut membawa polis ke sebuah rumah di Sungai Petani jam 8.15 malam hari yang sama dan pemeriksaan lanjut berjaya menemui 122 bungkusan mengandungi heroin seberat 54.8 kg.
"Kita juga berjaya menemui kotak berisi ketulan mampat syabu dianggarkan seberat 6.2 kg dan heroin base seberat 375 gram.
"Selain itu, pemeriksaan lanjut di dapur turut menemui pelbagai barang memproses dadah dan kita percaya sindiket terbabit menjadikan rumah berkenaan sebagai makmal mini," katanya.
Menurutnya, polis turut menyita kenderaan, barang kemas dan wang tunai yang bernilai RM48,064 dan kes disiasat mengikut Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.
"Dua suspek terbabit didapati positif dadah dengan seorang daripadanya iaitu lelaki yang berniaga perabot didapati mempunyai empat rekod jenayah," katanya.