[size=0.8]Oleh Nur Izzati Mohamad - September 6, 2021 @ 4:52pm[email protected]
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/logo_polis_1630918344.jpg)
NIBONG TEBAL: Tindakan licik satu sindiket pelacuran menjalankan kegiatan tidak bermoral dengan berselindung di sebalik perniagaan salun rambut di sini, terbongkar apabila diserbu petang semalam.
Serbuan jam 4.30 petang itu dilakukan sepasukan anggota dari Bahagian Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pulau Pinang.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Senior Asisten Komisioner Rahimi Ra'ais, berkata hasil pemeriksaan polis mendapati bahagian dalam premis kononnya salun rambut itu diubah suai, dipercayai untuk dijadikan tempat menawarkan perkhidmatan seks kepada pelanggan tetap.
"Pusat ini beroperasi melalui pintu belakang bagi mengelakkan aktiviti mereka dihidu pihak berkuasa.
"Ketika serbuan, terdapat tiga wanita warga asing berusia antara 22 hingga 25 tahun sedang leka melayan tiga pelanggan berusia antara 43 tahun hingga 48 tahun, sebelum mereka semua ditahan.
"Pemilik premis wanita berusia 48 tahun turut ditahan bagi membantu siasatan," katanya di sini, hari ini.
Katanya, siasatan awal mendapati pelanggan tetap akan menghubungi 'penjaga' melalui aplikasi WhatsApp dan membuat tempahan bagi mendapatkan perkhidmatan seks sebelum datang ke premis itu.
"Difahamkan, sindiket ini menawarkan perkhidmatan seks menggunakan wanita warga asing dengan bayaran antara RM100 hingga RM200.
"Semua mereka yang ditahan disiasat mengikut Seksyen 372A Kanun Keseksaan dan Seksyen 372B Kanun Keseksaan serta Peraturan Pencegahan Penyakit Berjangkit dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan kerana melanggar prosedur operasi standard (SOP)," katanya.