Georgetown: Lembaga Rayuan Jabatan Alam Sekitar (JAS) memutuskan mengetepikan kelulusan penilaian impak alam sekitar (EIA) bagi projek tambak laut yang membentuk tiga pulau buatan di Projek Tambakan Laut Selatan Pulau Pinang (PSR) hari ini.
Keputusan itu menjadikan kelulusan EIA bagi projek berkenaan adalah terbatal dan tidak lagi sah selepas ia diperoleh pada 25 Jun 2019.
Keputusan itu dibuat tiga anggota Lembaga Rayuan JAS iaitu Hakim Mahkamah Sesyen Rozina Ayub, pakar alam sekitar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) Prof Datuk Dr Mazlin Mokhtar dan Prof Madya Dr Ramdzani Abdullah dari Universiti Putra Malaysia (UPM).
Peguam, Meenakshi Raman berkata, notis rayuan berkenaan difailkan kepada Lembaga Rayuan oleh Ketua Unit Nelayan Sungai Batu, Zakaria Ismail pada 29 Julai 2019 mengikut Seksyen 35 (1) (e) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (EQA 1974).
Katanya, pembatalan EIA itu bermaksud, Pelan Pengurusan Alam Sekitar (EMP) bagi projek berkenaan yang sedang ditunggu kelulusannya juga sudah tidak boleh diguna pakai.
"Jika kerajaan negeri dan pemaju mahu meneruskan projek berkenaan, permohonan EIA baharu perlu dikemukakan semula kepada JAS.
"Bagi mendapatkan EMP, ia turut berkait rapat dengan kelulusan EIA yang diperoleh lebih awal, justeru, semua proses perlu dilakukan semula oleh pihak berkenaan (kerajaan negeri dan pemaju)," katanya di sini.
Sementara itu, Zakaria mengucapkan syukur dan terima kasih kepada nelayan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menyokong usaha sepanjang proses mengemukakan rayuan berkenaan.
"Kita berdoa dan berusaha bagi memastikan kawasan ini tidak dimusnahkan serta terus menjadi tempat penduduk mencari rezeki," katanya.