View: 4273|Reply: 15
|
10 Perkara Menarik dan Mengecewakan iPhone 13
[Copy link]
|
|
10 Perkara Menarik dan Mengecewakan Pada Siri iPhone 13
Diterbitkan pada 15 Sep 2021. oleh Effi Saharudin.
Setelah pelbagai misteri mengenai nama yang akan digunakan didengari, awal pagi empat peranti dalam siri Apple iPhone 13 – Apple iPhone 13, Apple iPhone 13 Mini, Apple iPhone 13 Pro dan Apple iPhone 13 Pro Max – telah dilancarkan secara rasmi. Selain ura-ura penamaan menjadi realiti, ura-ura mengenai spesifikasi juga disahkan oleh Tim Cook dan rakan-rakan.
Seperti biasa apabila iPhone baharu dilancarkan, senarai ciri-ciri menarik dan mengecewakan yang pada peranti kami senaraikan bagi memudahkan anda semua melakukan sendiri kajian sama ada ia berbaloi untuk dibeli tahun ini. Tanpa berborak panjang, inilah senarainya.
1.Menarik – Skrin Dengan Takuk Lebih Kecil
Takuk tahun ini lebih kecil selepas sekian lama menjadi bahan jenaka oleh pengeluar peranti Android. Sistem imbasan wajah Face ID akhirnya mampu dikecilkan dan hasilnya takuk skrin pada iPhone 13 adalah beberapa milimeter lebih kecil.
Perubahan sebenarnya tidaklah berapa ketara tetapi jika maklumat yang ditiriskan oleh Jon Prosser adalah benar, iPhone 13 akan menjadi iPhone terakhir dengan takuk yang besar. Selepas ini sistem imbasan wajah Face ID akan diletakkan di sebalik skrin dengan hanya lubang kamera dikekalkan untuk kamera swafoto di hadapan. Jika anda masih inginkan takuk pada skrin, iPhone 13 mungkin yang terakhir dan perlu dibeli untuk melengkapkan koleksi.
2. Menarik – Apple A15 Bionic – Lebih berkuasa
Cip A15 Bionic menambah baik lagi prestasi A14 Bionic yang dilancarkan tahun lalu yang masih belum mampu dipintas majoriti cip yang digunakan pada peranti Android walaupun hanya dilengkapi enam teras. Konfigurasi 2+4 dikekalkan dengan dua teras berprestasi tinggi dengan empat lagi teras untuk tugasan yang tidak memerlukan kuasa memproses yang tinggi. Perubahan sebenar dilakukan kepada GPU yang kini dilengkapi lima teras dengan peningkatan prestasi grafik sehingga 50% menurut Apple.
Teknologi 5nm juga dikekalkan maka peningkatan prestasi CPU seperti yang dilihat pada perubahan senibina 7nm ke 5nm tahun lalu tidak berlaku. Seperti biasa dengan setiap pengenalan cip siri A terkini, ia akan menjadi palang baharu prestasi yang cuba dipintas. Ia juga akan menjadi asas kepada cip siri M seterusnya yang akan digunakan pada iPad Pro, MacBook dan iMac yang seterusnya.
3. Menarik – Akhirnya Skrin OLED 120Hz
Syukur ke hadrat Ilahi kerana akhirnya skrin dengan kadar segar semula 120Hz diberikan pada iPhone 13 Pro dan iPhone 13 Pro Max. Permulaan yang baik selepas sudah beberapa tahun peminat Apple meminta skrin Pro Motion yang diperkenalkan pada iPad Pro turut diberikan pada iPhone.
Dengan kadar segar semula yang lebih tinggi ini proses menatal skrin akan kelihatan dan terasa lebih lancar. Ia juga akan menutup mulut peminat tegar Android yang menjadikan skrin 60Hz iPhone 12 tahun lalu sebagai jenaka kerana pada peranti kelas pertengahan Android, skrin 90Hz sudah dianggap biasa.
Tetapi ini juga masih mengecewakan kerana iPhone 13 dan iPhone 13 Mini masih lagi kekal dengan skrin 60Hz sahaja. Wujud semula perbezaan kasta antara model iPhone 13 biasa dengan iPhone 13 Po. Cuba lihat apa yang Samsung lakukan pada siri Galaxy S21. Kesemua peranti siri Galaxy S21 hadir dengan sokongan 120Hz. Mungkin ini taktik Apple untuk mengekalkan status peranti mercu premium hanya untuk model Pro tahun ini.
4. Mengecewakan – iOS 15 Sekadar Evolusi Bukan Revolusi
Sejak diumumkan pada Jun yang lalu, iOS 15 dikatakan oleh sesetengah pengguna sebagai mengecewakan. Perubahan mendadak pada iOS 14 menyebabkan tidak banyak perubahan besar boleh dilakukan pada tahun ini. Apa yang dilakukan adalah evolusi kepada ciri iOS 14 bagi membuatkan penggunaan lebih menarik tanpa revolusi seperti Widget dan App Library. Oleh sebab itu iOS 15 boleh dilihat agak mengecewakan kerana tiada ciri baharu yang benar-benar membuatkan peminat tegar kagum.
Antara ciri menarik iOS 15 pada siri iPhone 13 ialah audio spatial ketika FaceTime, mod potret ketika FaceTime, peranti boleh dijejak menggunakan Find My walaupun selepas dimatikan, mod fokus, SharePlay untuk menstrim bersama teman secara serentak, AirPlay ke peranti macOS dan banyak lagi. iPhone 13 akan menyokong kesemua ciri-ciri paling terkini tanpa halangan kerana spesifikasinya adalah yang paling tinggi.
5. Menarik – Kamera Baharu – Mod Malam Pada Semua Lensa
Perubahan besar dilakukan pada sistem kamera kesemua model iPhone 13. Akhirnya mod malam boleh digunakan pada kesemua lensa yang digunakan. Tiada lagi isu sebelum ini dimana hanya kamera utama menyokong mod malam menyebabkan gambar yang diambil pada lensa sudut lebar kelihatan gelap gelita.
Apple akhirnya akur dan meminjam idea yang diperkenalkan oleh Huawei sejak tiga tahun yang lalu. Peranti siri iPhone 13 juga mempunyai sokongan mod makro sebesar buat pertama kali. Tumit Achilles kamera iPhone akhirnya diselesaikan! Penambahbaikan pada cip ISP juga menjanjikan gambar yang lebih terang menerusi Smart HDR 4 dan Deep Fusion.
6. Menarik – Rakaman Video Lebih Hebat Dengan Cinematic Mode
Apple benar-benar ingin menjual idea bahawa siri iPhone 13 ialah peranti dengan kemampuan rakaman video terbaik di pasaran. Menerusi pengenalan Cinematic Mode mereka ingin ingin memberikan rakaman seakan profesional pada peranti yang muat di telapak tangan. Dengan Cinematic Mode pengguna boleh menghasilkan kesan bokeh pada video yang dirakam lengkap dengan profil HDR Dolby Vision. Fokus kemudiannya boleh diubah SELEPAS video dirakam untuk suntingan. Ini adalah ciri yang akan kurang memeningkan kepada editor apabila menyedari tetapan fokus kamera yang salah berlaku.
Turut diperkenalkan ialah video boleh dirakam dalam format ProRes yang mengekalkan kualiti video tampa kesan mampatan seperti codec video yang lain. Ini ialah format yang disokong pada Final Cut Pro. Bagi mereka yang sudahpun menggunakan ekosistem Apple, ini akan memudahkan lagi proses menghasilkan karya video. Isu hanyalah ProRes memakan saiz storan yang besar sekitar 1GB/minit pada resolusi FHD. Ini adalah sebab utama iPhone 13 Pro ditawarkan dengan storan 1TB tahun ini.
7. Mengecewakan – Pengecasan Masih Sekadar 20W
Kami amat kecewa dengan pengecasan yang masih di takuk lama 20W pada keeempat-empat model iPhone tahun ini. Kita sudahpun di penghujung 2021 dan 20W ialah sistem pengecasan yang kini lebih layak digunakan pada peranti kelas pertengahan Android sahaja. Pada peranti Android lebih mercu, pengecasan mencecah 120W seperti pada Xiaomi MIX 4 dan Nubia Red Magic 6S Pro sudah menjadi perkara biasa. Pada hemat kami sistem ‘pengecasan pantas’ yang disokong iPhone 13 adalah perlahan sehingga tidak kongruen dengan pemproses dan skrin pantas yang digunakan.
8.Menarik – Bateri Lebih Besar
Bateri pada keempat-empat model adalah lebih besar berbanding model tahun lalu. Dengan bateri yang lebih besar, peranti dapat berfungsi lebih lama dan tidak akan terlalu terjejas dengan pengenalan skrin 120Hz pada model Pro. Isu tahun lalu ialah sokongan 5G mengakibatkan hayat penggunaan iPhone 12 tidak sebaik iPhone 11. Apple menjanjikan prestasi lebih baik sehingga 2.5 lebih lama pada siri iPhone 13 tahun ini. Peningkatan yang adalah besar khususnya untuk mereka yang tida mahu berhadapan dengan pengecas sekadar 20W sahaja. Kurang masa mengecas lebih banyak perkara dapat dilakukan.
9. Menarik – Storan Sehingga 1TB
Apple menawarkan storan sehingga 1TB tahun ini pada model Pro. Ini ialah saiz storan yang amat besar dan perlu khususnya bagi mereka yang bercadang menggunakan peranti sebagai kamera video. Pelbagai mod unik kamera pastinya akan membuatkan pengguna semakin ingin menangkap lebih banyak gambar dan video.
Tidak banyak pengeluar menawarkan peranti dengan saiz storan sebesar ini. Samsung pernah melakukannya beberapa taun yang lalu sebelum storan maksimum kini menjadi separuh sahaja. Bagi mereka yang benar-benar ingin menggunakan iPhone 13 Pro dan 13 Pro Max sehingga lima tahun, storan yang besar ini akan memastikan di masa hadapan storan bukan isu yang akan dihadapi.
10. Mengecewakan – Masih Lightning
Kami letakkan kekecewaan terakhir di tempat ke sepuluh kerana ia sudahpun dijangka. Apple masih menggunakan port pengecasan Lightning pada kesemua model iPhone 13 tahun ini sedangkan mereka tiada isu menggunakan USB-C pada iPad Mini yang dilancarkan pada acara yang sama. Penggunaan USB-C sudah menjadi standard pada iPad Pro, iPad Mini dan MacBook.
Kedegilan menggunakan Lightning adalah kurang masuk akal apabila menyedari Kesatuan Eropah telahpun meluluskan RUU untuk menyeragamkan kesemua peranti elektronik menggunakan USB-C hanya beberapa minggu yang lalu. Mungkinkah USB-C akan akhirnya digunakan pada iPhone 14 kelak? Untuk kesekian tahunnya kita hanya boleh mengharap dan dunia dimana semua peranti menggunakan satu kepala pengecas yang sama akan menjadi realiti.
|
|
|
|
|
|
|
|
bagi 'perangat' sikit
|
|
|
|
|
|
|
|
R2D2 replied at 16-9-2021 10:58 PM
bagi 'perangat' sikit
Habis laaaaaa terbakar peminat iPhone.. Jap aku tlg perangat sama. |
|
|
|
|
|
|
|
takpelah nokkkk
ni kemahuan jahhhh
oppo hang still boleh gunaaa
*sambil urut dada* |
|
|
|
|
|
|
|
Sesekali ku rasa teringin...
tapi mengenangkan bukan keperluan penting pun, setia je la dulu ngan ipong sediada |
|
|
|
|
|
|
|
mampu tegok air liur je
lainlah klu R2D2 nak belanja
|
|
|
|
|
|
|
|
Edited by airisa at 20-9-2021 04:22 PM
takpe la .. setia dgn iphone 12 pro max .. hahaha
ini dikira huge jump from iphone 6
|
|
|
|
|
|
|
| |
|