![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20210918/j.jpg)
KOTA KINABALU: Jangan jadikan penerima suntikan vaksin COVID-19 sebagai asas pemberian kad pengenalan atau kewarganegaraan.
Ketua Penerangan UPKO Joisin Romut berkata, kenyataan Timbalan Menteri Dalam Negeri (KDN) Datuk Seri Ismail Mohamed Said bahawa KDN akan mempertimbangkan pemberian Kad Pengenalan diri atau kewarganegaraan kepada penerima vaksin COVID-19 di Sabah dan Sarawak yang masih belum memiliki identiti diri amat menggusarkan.
Joisin berkata, kenyataan ini sangat merisaukan rakyat khususnya di Sabah kerana seperti diketahui umum, masalah kewarganegaraan di Sabah penuh dengan kontroversi.
"Berita ini kita terima dalam suasana yang kita baru menyambut hari ulang tahun Pembentukan Malaysia pada 16 September dan rakyat Sabah pula dihidangkan dengan hadiah yang menakutkan dan mengelirukan.
"Timbalan Menteri KDN semasa menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Sibuti, Lukanisman Awang Sauni, memaklumkan bahawa bagi Sarawak, KDN telah mengujudkan jawatankuasa khas status warganegara bagi meneliti urusan dokumentasi bagi individu yang tidak berdokumen berumur 21 tahun ke bawah.
"Sementara itu, Timbalan Menteri KDN memaklumkan bahawa pemberian dokumen kewarganegaraan bagi Negeri Sabah pula dibincangkan dalam Jawatankuasa Pengurusan Warga Asing Sabah (JKPWAS)," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.
Beliau berkata, perkara itu mengundang banyak persoalan kerana daripada kenyataan Timbalan Menteri KDN ternyata bahawa mereka sedang menjalankan pemberian identiti dan kewarganegaraan.
Katanya, perkara yang lebih menggusarkan ialah kenyataan bahawa bagi Sabah perlaksanaannya dibincangkan dibawah JKPWAS yang mana calon-calon penerima dokumen besar kemungkinan dari kalangan warga asing.
"Kita menyokong penuh dan tidak membantah usaha-usaha untuk mengenal pasti individu-individu yang tidak berdokumen bagi penduduk asal Sabah atau Sarawak untuk diproses dokumentasi pengenalan diri.
"Tetapi pemberian kewarganegaraan dan pengenalan diri berasaskan kriteria telah menerima vaksin COVID-19 adalah sangat-sangat tidak wajar, tidak berasas dan membuka ruang salah guna kuasa serta kesilapan," katanya.
Katanya, isu pendatang asing dan kewarganegaraan telah menjadi isu dominan semasa Pilihanraya Negeri Sabah ke-16 (PRN16) dan kemenangan dalam pilihanraya tersebut dikaitkan dengan janji-janji penyelesaian masalah kebanjiran pendatang asing.
"Ke mana perginya janji-janji tersebut? Pas Sementara Sabah (PSS) telah dibantah dengan hebatnya sehingga dibatalkan tetapi pemberian kewarganegaraan yang membuka ruang bakal penerimanya termasuk warga asing, adalah lebih teruk daripada PSS dan wajar dibantah habis-habisan.
"Pendirian UPKO adalah konsisten bahawa UPKO menentang sekeras-kerasnya sebarang bentuk salah guna kuasa dan pemberian kewarganegaraan kepada mereka yang tidak layak," katanya.
Katanya, UPKO percaya satu sahaja jalan penyelesaian untuk menyelesaikan masalah kewarganegaraan yang meragukan iaitu dengan menarik balik semua kad pengenalan dan mengeluarkannya semula hanya kepada mereka yang benar-benar layak.
utusanborneo.com.my/2021/09/18
|