KUCHING, 21 September: 9 individu ditahan dalam satu serbuan polis kerana disyaki terlibat dengan aktiviti judi atas talian.
Ketua Polis Daerah Kuching ACP Ahsmon Bajah berkata, serbuan dilakukan semalam di sebuah banglo setingkat di Taman Stutong Indah, Tabuan Jaya kerana dijadikan sebagai pusat operasi dan pengurusan judi online.
Katanya, pihaknya telah menahan 5 warga asing dan 4 warga tempatan berusia 18 hingga 31 tahun yang merupakan operator pengendalian judi online tersebut dengan gaji RM1500 sebulan.
Jelasnya dalam kenyataan hari ini, siasatan awal mendapati premis perjudian itu telah beroperasi sejak 6 bulan yang lalu yang membawa keuntungan kira-kira RM60 ribu sebulan.
Polis telah merampas pelbagai barangan yang digunakan untuk menjalankan kegiatan judi tersebut dan kes disiasat di bawah Seksyen 4(1)(G) Akta Rumah Judi Terbuka yang membawa hukuman denda tidak kurang daripada RM5 ribu dan tidak lebih RM50 ribu serta penjara tidak lebih 3 tahun.