View: 1158|Reply: 1
|
[Sarawak]
1,200 anak tentera darat, kakitangan awam MINDEF Sarawak divaksin
[Copy link]
|
|
KUCHING: Program vaksinasi melibatkan anak anggota tentera darat dan anak kakitangan awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Sarawak berjalan lancar hari ini.
Penolong Ketua Pengarah Perkhidmatan Kesihatan Markas 1 Divisyen Kolonel Dr Meor Adzahary berkata program vaksinasi ini melibatkan 1,200 anak-anak anggota dan kakitangan awam MINDEF yang berusia 12 tahun ke atas di negeri ini.
“Hari ini bertempat di Renjimen Ke-4 Kor Amor Diraja, Kem Penrissen, kita akan beri suntikan kepada 732 anak-anak anggota dan kakitangan awam MINDEF bermula jam 8.30 pagi dan dijangka selesai jam 2.00 petang menggunakan konsep pandu lalu.
“Selebihnya kita ada buka Pusat Pemberian Vaksin (PPV) Pandu Lalu di Kem Oya, Sibu dan beberapa PPV statik di Sri Aman, Bintulu dan Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Program Vaksinasi COVID-19 Anak Anggota Tentera Darat dan Awam MINDEF Zon Sarawak di Renjimen Ke-4 Kor Amor Diraja, Kem Penrissen di sini hari ini.
Tambah Meor, program vaksinasi hari ini bermula serentak kecuali di Miri yang mana akan dilaksanakan esok melibatkan 36 anak anggota tentera daerat dan awam MINDEF.
Manakala untuk suntikan dos kedua nanti akan diadakan pada 14 Oktober depan juga menggunakan konsep yang sama iaitu secara pandu lalu untuk di Kuching dan Sibu dan PVV statik di Sri Aman,Bintulu dan Miri.
Bagi mereka yang tidak dapat hadir bagi vaksinasi hari ini atas sebab atau masalah tertentu, mereka akan diberikan temujanji pada tarikh yang lain.
Vaksinasi katanya juga boleh didapati di PPV awam yang lain di bawah Jabatan Kesihatan Negeri atau yang dianjurkan oleh pihak sekolah masing-masing.
Ditanya perancangan untuk membuka program pemberian vaksin ini kepada orang awam, Meor berkata buat masa ini tiada perancangan untuk itu.
Namun katanya jika ada keperluan, pihak tentera sedia membantu bagi memastikan semua anak-anak yang telah berusia 12 tahun di negeri ini menerima suntikan vaksin COVID-19.
|
|
|
|
|
|
|
|
Warga tentera, MINDEF Sarawak lega anak sudah divaksin
KUCHING: Anak-anak anggota tentera darat dan awam Kementerian Pertahanan (MINDEF) di Sarawak yang berusia 12 tahun ke atas menerima suntikan vaksin COVID-19 hari ini.
Tinjauan Utusan Borneo di Renjimen Ke-4 Kor Amor Diraja, Kem Penrissen di sini hari ini mendapati proses pemberian vaksin secara pandu lalu berjalan dengan lancar bermula jam 8.30 pagi.
Beberapa ibu bapa yang ditemui pada program itu masing-masing menyuarakan kelegaan kerana anak-anak yang berusia 12 tahun dan ke atas sudah divaksin.
Wan Zapri Wan Alwi antara yang hadir menghantar dua anaknya yang masing-masing berusia 14 dan 12 tahun menerima suntikan dos pertama vaksin COVID-19 di kem itu hari ini.
Lega anaknya sudah divaksin, Wan Zapri berkata dia tidak lagi terlalu risau akan kedua-dua anaknya apabila kembali ke sekolah yang dijadual pada awal Oktober ini.
“Sebelum divaksin, memang risau kerana mudah untuk mereka dijangkiti. Tetapi selepas divaksin ini, keadaan lebih selamat untuk anak-anak ke sekolah,” katanya.
Sementara itu bagi Francis Warren Saoh, bapa kepada Adeline Jacquelyn,14, juga menyatakan rasa lega anaknya sudah divaksin.
Dengan adanya vaksin ini katanya sebagai ibu bapa, mereka tidak lagi terlalu risau jika anak-anak ke sekolah atau keluar rumah.
“Kita jadi tidak risau, anak nak ke sekolah ke atau keluar rumah, sebab sudah divaksin,” katanya selepas menghantar anaknya divaksin secara pandu lalu di Kem Penrissen hari ini.
Anaknya Adeline juga berkongsi rasa gembira sudah divaksin hari ini dan tidak risau lagi untuk bersekolah.
Bagi Muhammad Arash Rayyan, 12, dia rasa baik sahaja selepas divaksin dan tidak ada rasa takut ketika divaksin.
Rayyan yang ditemani ibunya juga lega sudah divaksin dan semangat untuk kembali semula ke sekolah kelak.
Agnes Tugong
|
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Negeri & Negara
|