|
Update dari :
https://mforum.cari.com.my/forum.php?mod=viewthread&tid=1265144
Kuching: Polis sedang menunggu laporan forensik berkaitan insiden tembakan membabitkan empat anggota Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang terkorban di kem TUDM, Kota Samarahan pada 13 Ogos lalu.
Pesuruhjaya Polis Sarawak Datuk Aidi Ismail berkata, laporan itu antara lain turut melihat kepada kandungan telefon bimbit mangsa serta suspek yang diambil bagi membantu siasatan.
Katanya, telefon-telefon berkenaan dihantar ke unit forensik di Bukit Aman dan pihaknya kini masih menunggu laporan daripada mereka.
"Banyak perkara yang perlu diteliti dalam kes ini kerana melibatkan empat mangsa. Kita perlu lihat sejarah mereka… kandungan dalam telefon sama ada terdapat masalah seperti perbalahan atau isu lain yang boleh mencetuskan kejadian itu.
"Selain itu, kita juga telah rakam keterangan saksi serta rakan-rakan mangsa," katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuching, di sini, hari ini.
TUDM sebelum ini memaklumkan berlaku satu insiden tembakan membabitkan empat anggota pasukan itu di Unit TUDM di Kota Samarahan pada 7.15 pagi.
Empat anggota yang terkorban dalam insiden berkenaan ialah Koperal Udara Sharif Mohd Siddiq Al-Attas Wan Sabli, Koperal Udara Mohamad Ehsan Sehamat, Koperal Udara Ho Swee Boon dan Laskar Udara Nesly Anak Nabau.
|
|