MIRI: Penubuhan Pusat Falak merupakan langkah Jabatan Mufti Sarawak (JMS) menambah baik pengurusan takwim di negeri ini.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, ia sebagai usaha cabang pengetahuan sains dalam bidang astronomi untuk dikembangkan kepada pihak universiti dan pelajar di negeri ini.
“Saya melihat Pusat Falak Miri sebagai pusat ilmu untuk kita mengkaji, lebih-lebih lagi waktu ini semuanya bergantung kepada angkasa lepas.
“Ini ada hubung kait dengan teknologi maklumat, ilmu teknologi yang dikatakan digital.
“Ilmu digital ini adalah signal yang dihantar di dalam ruang yang berteraskan kepada ilmu algorithm yang merupakan ilmu orang Islam,” katanya ketika berucap merasmikan Pusat Falak Miri di Luak Esplanade Miri pada Jumaat.
Pusat Falak Miri ini merupakan bangunan pertama seumpamanya di Sarawak yang digunakan sebagai suatu tempat untuk mencerap atau melihat anak bulan.
Abang Johari berkata, pelajar yang berada di Institusi Pengajian Tinggi (IPT) dan sekolah-sekolah mengambil peluang ini untuk mempelajari ilmu astronomi di Pusat Falak Miri.
Pada 2014, Jabatan Mufti Sarawak (JMS) mengambil inisiatif menubuhkan pusat tersebut bagi tujuan penambahbaikan dan memudahkan tugas para pegawai dalam memenuhi fungsi bahagian falak yang bertanggungjawab dalam menguruskan majlis rukyah dan penyediaan takwim waktu solat seluruh negeri Sarawak.
Selain itu bahagian ini juga melaksanakan aktiviti-aktiviti cerapan fenomena alam seperti gerhana matahari dan gerhana bulan serta menganjurkan program-program pendidikan yang berkaitan dengan ilmu falak kepada masyarakat setempat.
Pada permulaan projek tersebut telah diperuntukkan sebanyak RM2.5 juta tetapi dinaikkan sehingga RM4.5 juta oleh kerajaan negeri kerana tapak stesen Tanjong Lobang Miri tidak sesuai untuk didirikan Pusat Falak Miri disebabkan beberapa faktor muka bumi.
Lokasi yang berdekatan dengan Luak Esplanade Miri telah dipilih hasil daripada kajian tersebut dan pembinaan telah bermula pada 5 September 2019 dan siap pada 13 Ogos lalu.