MIRI: Ahli Parlimen Sibuti Lukanisman Awang Sauni (gambar) mengesyorkan agar definisi pribumi perlu diperjelaskan dengan terperinci, iaitu dengan menyatakan atau memasukkan sekali senarai kaum dan etnik pribumi Sarawak, dalam pindaan Perlembagaan Artikel 161A(7).
Tegasnya, pindaan definisi dan kemas kini senarai kaum dalam Perlembagaan amat perlu, supaya etnik Sarawak tidak lagi disebut 'Lain-Lain'.
"Merujuk kepada cadangan Pindaan Perlembagaan Artikel 161A (7) saya ingin merakam hasrat agar penambahan etnik seperti Jatti Miriek disenaraikan sebagai ras atau etnik di Sarawak.
"Jatti Miriek untuk makluman antara kaum tertua di utara Sarawak dan dominan di Bahagian Miri dan Parlimen Miri juga adalah sempena nama bagi etnik Miriek. Begitu juga pengiktirafan kaum Lun Bawang, Vaie dan senarai etnik yang akan dikemukakan oleh Kerajaan Negeri Sarawak," katanya ketika membahaskan intipati Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat pada Selasa.
Menurut Lukanisman, ia juga sejajar dengan ucapan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob iaitu 'Keluarga Malaysia' yang merangkumi Bumiputera Negeri Sabah dan Sarawak yang mempunyai pelbagai etnik.
"Cadangan Kerajaan Negeri Sarawak untuk membuat perubahan kepada definisi pribumi dalam Perlembagaan Malaysia untuk cerminan pelbagai kaum di Malaysia. Signifikan pindaan artikel 161A (7) akan memberi pengiktirafan kepada Keluarga Malaysia pelbagai etnik di Sarawak," katanya.
"Wajar pada penutup RMK-12 kelak tiada lagi 'Lain-lain' pada borang rasmi kerajaan secara total," tambah beliau lagi.
Sehubungan itu, Lukanisman turut menuntut kerjasama dan libat urus yang cekap bagi menjayakan pindaan definisi pribumi bagi Artikel 161A itu kelak.
Implikasi pindaan ini juga katanya, akan membolehkan etnik-etnik yang tidak tersenarai dapat melabur dalam Amanah Saham Bumiputera (ASB) dan tidak menumpang atas tiket nama kaum Melayu semata-mata.
utusanborneo.com.my/2021/09/30
|