KUCHING: Sarawak merekodkan sebanyak 72 kawasan daripada 11 daerah diisytiharkan sebagai kawasan jangkitan penyakit Rabies berdasarkan rekod bermula 4 Julai 2017 hingga 26 September, tahun ini.
Timbalan Pengarah Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sarawak Dr Stephen Gabriel berkata, secara purata sebanyak 350 kes akibat gigitan anjing dalam masa sebulan.
“Setakat ini terdapat 35 kes membabitkan individu yang terkena jangkitan rabies, dimana 33 daripadanya telah meninggal dunia,” katanya ketika bercakap dalam majlis Hari Rabies Dunia 2021 hari ini.
Jelas beliau, jumlah tersebut merupakan angka tinggi dimana pihaknya kini giat berusaha membendung angka itu daripada terus meningkat.
Dedahnya, 80 peratus anjing di negeri ini merupakan anjing perliharaan yang mempunyai tuan namun diberikan kebebasan untuk hidup di kawasan awam.
Sementara itu katanya, tiga tahun pertama semenjak rabies diperkenalkan di Sarawak sehingga tahun 2019, sebanyak 65 peratus anjing peliharaan dan anjing tidak bertuan telah diberikan vaksin di Sarawak.
“Perancangan tindakan bagi mengawal rabies telah dilakukan pada Disember 2018 iaitu pemberian vaksin kepada binatang dimana kita melihat cara tersebut lebih jimat berbanding kepada tindakan lain.
“Sekiranya 70 peratus anjing dapat divaksin di Sarawak maka kita mampu membendung rabies daripada terus berleluasa,” katanya.
Namun jelasnya, selepas kehadiran Covid-19, pergerakan kita agak terbatas menyebabkan gerak kerja pemvaksinan tidak dapat dilakukan secara keseluruhan.
Setakat ini ujarnya, 170, 797 ekor anjing telah divaksin termasuk 38,375 anjing peliharaan yang telah diberikan suntikan booster.
sarawakvoice.com/2021/10/02
|