MUKAH: Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah mahu ibu bapa mengutamakan keselamatan anak-anak termasuk bayi jika melakukan aktiviti rentas daerah.
Katanya, pihaknya juga telah memaklumkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JBPN) supaya PDRM membenarkan keluarga termasuk bayi yang belum divaksin mendapatkan permit untuk merentas daerah.
“Dari segi tanggungjawab keluarga, ibu bapa perlu faham bahawa anak-anak kecil belum lagi divaksin dan berisiko.
“Maka tanggungjawab ibu bapa terhadap anak-anak belum divaksin ke tempat mereka dibawa perlu ambil kira termasuk tahap keselamatan anak-anak,” katanya kepada Suara Sarawak.
Adun Dalat itu berkata, pihaknya juga mempunyai sebab untuk membenarkan anak kecil dan bayi untuk bersama-sama keluarga merentas daerah kerana kebergantungan bayi terhadap ibu bapa mereka.
“Kita tahu sekarang kanak-kanak di bawah usia 12 tahun belum menerima vaksin. Oleh sebab bergerak sebagai satu keluarga terutama ke luar daerah, tiada siapa akan menjaga anak-anak kecil ini jika ibu bapa berjauhan,” ujarnya lagi.
Sehingga semalam katanya, seluruh Sarawak memasuki fasa ketiga apabila zon selatan beralih ke fasa ketiga Pelan Pemulihan Negara. “Bagi langkah memberikan permit ini, kita telah putuskan dalam mesyuarat JPBN.
“Kita akan buat secara berfasa sama seperti pelbagai sektor sebelum ini kerana pemberian permit ini adalah untuk tujuan pemantauan.
“Permit ini masih perlu bagi melindungi diri dan orang yang dilawati kerana dari situ kita tahu sama ada individu itu sudah divaksin atau tidak.
“Jika tidak, polis akan menolak permohonan permit mereka jika mereka belum divaksin atau antivaksin.
“Jika individu yang tidak menerima vaksin ini dibenarkan, akan ada risiko kepada diri dan individu sekeliling atau sebaliknya mereka mungkin menjadi pembawa virus ini,” tegasnya lagi.
https://suarasarawak.my/2021/10/utamakan-keselamatan-anak/
|