Youtube dilaporkan akan memadam semua kandungan yang menyebarkan maklumat yang salah mengenai vaksin yang diluluskan.
Menurut BBC, antara video yang akan dipadam adalah mengenai dakwaan bahawa vaksin yang diluluskan adalah berbahaya dan menyebabkan autisme, barah atau kemandulan.
Tidak cuma itu, saluran individu anti vaksin yang berpengaruh juga akan ‘ditamatkan’. Sebelum ini, syarikat teknologi itu telah dikritik kerana tidak bertindak dengan baik untuk mengatasi maklumat kesihatan palsu yang tersebar di laman mereka.
Dalam pada itu, Youtube, yang dimiliki oleh Google mengatakan bahawa 130,000 video telah dipadam dari platformnya sejak tahun lalu. Syarikat itu juga mengatakan telah mengesan video dakwaan palsu mengenai suntikan vaksin COVID-19. Ia juga merangkumi vaksin yang telah lama diluluskan seperti vaksin campak dan hepatitis B. “Kami memperluaskan mengenai polisi penyebaran maklumat palsu di Youtube dengan garis panduan baharu mengenai vaksin yang sedang diberikan dan yang telah diluluskan dan disahkan selamat oleh pihak berkuasa tempatan dan WHO,” kata Youtube dalam satu kenyataan. Selain Youtube, larangan yang serupa turut diperkenalkan oleh Facebook pada Februari dan diikuti oleh Twitter pada Mac. Difahamkan, pengguna yang berulang kali menyampaikan maklumat yang salah mengenai vaksin akan dilarang dari menggunakan platform media sosial tersebut.
|