|
KUCHING - Tenggiling, mamalia unik yang dilindungi dalam kalangan spesiesnya di Sarawak akan dipertingkatkan tahap perlindungan kepada kategori ‘Dilindungi Sepenuhnya’ di negeri ini.
Dikenali sebagai manis javanica dalam bahasa saintifiknya, tenggiling antara mamalia yang sering dirampas daripada urusniaga haram hidupan liar di Asia dan kini di ambang kepupusan.
Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Perhutanan Sarawak Sdn Bhd (SFC), Zolkipli Mohamad Aton yang menyukai haiwan berkenaan berkata, pihaknya akan menjalankan kajian bagi mengetahui jumlah populasi terkini haiwan itu sebelum menghantar cadangan untuk meningkatkan tahap perlindungan haiwan itu kepada kerajaan.
Itu adalah langkah biasa dilakukan bagi peningkatan tahap perlindungan hidupan liar.
Bagaimanapun, jika terdapat satu penanda aras dalam peningkatan tahap perlindungan tenggiling daripada Traffic iaitu satu rangkaian pemantau urusniaga hidupan liar yang menasihatkan agar perbadanan itu perlu melakukan proses itu segera, maka pihaknya akan memastikan proses itu diutamakan.
“Pada masa ini, dalam senarai tugas kita, kita akan lihat semula kita punya Pelan Induk Hidupan Liar, lepas tu ordinan yang berkaitan tetapi jika ada penanda aras daripada pihak luar, kalau mereka kata kita perlu lakukannya. Jika tidak (tenggiling) akan pupus, jadi kita akan utamakan (tahap perlindungan),” katanya kepada Bernama.
Di Sarawak, spesis ‘Yang Dilindungi Sepenuhnya’ tidak boleh disimpan sebagai haiwan peliharaan, diburu, ditangkap, dibunuh, dijual, diimport, dieksport atau diganggu dalam sebarang keadaan atau memiliki apa-apa sahaja bahagian tubuh badan haiwan berkenaan.
Antara haiwan yang dikategorikan di bawah terma itu ialah monyet proboscis, ungka Borneo, badak sumbu, dugong dan semua jenis penyu.
|
|