BINTULU: Pihak pengurusan Hospital Bintulu memohon maaf kepada ahli keluarga seorang pesakit buah pinggang kronik yang terjatuh di pekarangan bangunan Unit Haemedialisis (HDU) Hospital Bintulu pada 30 September lalu.
Pengarah Hospital Bintulu Dr. Suzalinna Sulaiman dalam kenyataan akhbar berkata kejadian ini berlaku kerana pesakit tidak diturunkan di laluan utama hospital, sebaliknya diturunkan di tepi bangunan HDU.
"Siasatan awal yang dijalankan mendapati insiden berkenaan berlaku berikutan pengawal keselamatan bertugas telah mengarahkan pemandu ambulans supaya tidak menurunkan pesakit di laluan utama kerana menyangka pesakit positif COVID-19," ujarnya.
Jelasnya, ini kerana pemandu ambulans memakai PPE lengkap sebagaimana kebiasaan yang digunakan kakitangan bagi mengendalikan kes positif covid.
Untuk makluman katanya, pesakit buah pinggang kronik yang positif COVID-19 akan menjalani dialisis di wad isolasi COVID-19 dan bukannya di HDU.
"Sebagai langkah penambahbaikan, laluan wad 'fast lane' akan diwujudkan sebagai laluan pihak ambulans menghantar pesakit yang hendak menjalani dialisis menuju ke HDU," ujarnya.
Pihak hospital dalam masa sama jelasnya masih lagi mengekalkan polisi sedia ada iaitu pesakit buah pinggang kronik yang positif COVID-19 akan menjalani rawatan di wad isolasi.
Beliau menasihatkan setiap kakitangan hospital yang terlibat dalam insiden ini diingatkan supaya sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain dengan sentiasa mengikuti polisi sedia ada untuk memudahkan urusan penghantaran pesakit.
utusanborneo.com.my/2021/10/06
|