LAWATAN: Joachim (tengah) dan James (dua kanan) semasa lawatan berkenaan.
KOTA KINABALU: Persekutuan Pekilang-Pekilang Malaysia (FMM) Sabah yakin komitmen kerajaan negeri akan membantu mencari penyelesiaan terbaik dalam menangani permasalahan yang dihadapi Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).
Pengerusi FMM Cawangan Sabah James Ha Haw Yew berkata, industri pembuatan di negeri ini bergerak ke arah hala tuju yang tepat dengan adanya keprihatinan dari Kementerian Pembangunan Perindustrian khususnya dalam menyelesaikan isu berhubung ruang tapak untuk pihak PKS.
Katanya, awal tahun ini, FMM Sabah membuat tinjauan untuk mengenal pasti permintaan untuk tanah di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dalam kalangan ahli FMM Sabah.
Menurutnya, hasil tinjauan dan cadangan kemudiannya diserahkan kepada pihak kementerian serta Majlis Penasihat Ekonomi Sabah untuk dibincangkan seterusnya diselesaikan.
"Kita turut mendapati hasil yang menarik dan mengejutkan dari tinjauan yang kita jalankan.
"Ini menunjukkan wujudnya permintaan yang tinggi untuk tanah perindustrian daripada pengeluar tempatan sedia ada dan potensi pembangunan yang sangat besar dan signifikan untuk manfaat ekonomi dari unjuran pelaburan tempatan," katanya.
Beliau berkata demikian selepas menerima lawatan daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian Datuk Dr. Joachim Gunsalam di kilangnya Dong Sin Food Sdn Bhd dekat sini Isnin lepas. Joachim dan agensi yang lain turut melawat syarikat ahli FMM iaitu HKT Industries Sdn Bhd.
Dalam pada itu James berkata, kerajaan negeri perlu memberi perhatian kepada pengilang tempatan yang berskala sederhana kerana pembangunannya bukan sahaja mampu menghasilkan lebih banyak peluang pekerjaan, tetapi turut menarik industri sokongan lain untuk berkembang di negeri ini.
Menurutnya, keperluan industri bersaiz sederhana berbeza dengan industri mikro dan kecil dan insentif serta strategi harus difokuskan untuk membina industri bersaiz sederhana yang bergerak ke arah syarikat tersenarai awam.
Pihaknya mengucapkan penghargaan terima kasih kepada Joachim atas lawatan ke kilang mereka dan berharap hasil yang lebih positif dari kajian dan perbincangan berkala selepas lawatan berkenaan.
utusanborneo.com.my/2021/10/06
|