KUCHING: Kerajaan pusat diminta memperhalusi lagi kelulusan penglibatan Pengawal Pantai Sarawak (SCG) dalam operasi mencari dan menyelamat (carilamat) bersama agensi lain.
Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah (gambar) berkata, buat masa ini SCG perlu menunggu kelulusan daripada kerajaan pusat sebelum boleh menyertai mana-mana operasi termasuk pencarian mangsa bot karam yang berlaku baru-baru ini.
"Kerajaan negeri telah menggubal dan menubuhkan SCG namun ia tidak dapat keluar (operasi carilamat) kerana memerlukan kelulusan Kuala Lumpur.
"Perkara seperti ini perlu kita perhalusi, kita faham perkara berkenaan keselamatan termaktub dalam Perlembagaan Malaysia iaitu di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.
"Namun dalam usaha kita mencari dan menyelamat kita memerlukan penggemblengan tenaga daripada semua pihak," katanya ketika ditemui semasa meninjau operasi SAR enam pemancing hilang di Telaga Air di sini, semalam.
Abdul Karim menegaskan SCG ditubuhkan bukan untuk bertembung dengan tugas-tugas agensi keselamatan dibawah kerajaan persekutuan lain tetapi bagi membantu operasi menyelamat.
Katanya, beliau amat menghargai usaha agensi penguatkuasaan kerajaan persekutuan dan negeri yang terlibat dalam insiden dua bot karam di Telaga Air.
Jelasnya dengan sempadan perairan Sarawak yang luas dan kemungkinan agensi-agensi tertentu menghadapi masalah dan bantuan, sudah pastinya ia memerlukan penggemblengan ramai termasuk SCG.
"Kerajaan Sarawak telah membelanjakan lebih RM80 juta untuk membeli bot SCG tetapi jika ia hanya diletakkan di jeti sahaja, tiada guna. "Maka itu biarkan SCG menjalankan tugas mereka dengan membantu dalam operasi SAR," tegasnya.
Sehubungan itu beliau amat berharap kerajaan persekutuan akan memperhalusi perkara terbabit dan jika perlu bawa ia untuk rundingan bagi kerajaan negeri dan persekutuan.
Abdul Karim berkata, dalam operasi SAR di laut perkara paling penting adalah 24 jam pertama kejadian maka itu kerjasama semua agensi amat diperlukan dalam mencari dan menyelamatkan nyawa.
Sementara itu beliau turut berharap kepada pemilik bot atau individu yang membawa pemancing ke laut mesti dilatih sepenuhnya selain memiliki kelengkapan keselamatan seperti pelampung, jaket keselamatan dan radio komunikasi.
"Mereka sepatutnya perlu mengetahui selok belok di laut dan sebagainya, selain tahu mengenai keadaan cuaca serta keselamatan.
"Saya berharap agar kerajaan dan badan tertentu untuk kawal selia undang-undang agar individu yang membawa bot atau untuk disewa pemancing harus mempunyai lesen," katanya.
utusanborneo.com.my/2021/10/06
|