Edited by Vellfire at 6-10-2021 06:38 AM
KUCHING: Gara-gara memecahkan cermin tingkap ruang tamu rumah, seorang lelaki dijatuhi hukuman denda RM1,500 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret hari ini. Tertuduh 20, mengaku bersalah selepas pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Zubaidah Sharkawi.
Mengikut pertuduhan, dia didakwa melakukan perbuatan tersebut di kediamannya di Taman Mesra Bako sekitar jam 9.15 malam, 20 Julai lepas.
Oleh itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Menurut fakta kes, anak pengadu telah mengamuk memecahkan cermin tingkap ruang tamu rumah di Taman Mesra, Bako sekitar jam 9.15 malam, 20 Julai lalu. Pengadu yang merupakan ibu kepada tertuduh kemudian membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.
Tertuduh kemudian ditangkap oleh pihak polis di kediamannya pada 1 Oktober lalu.
Hasil siasatan mendapati tertuduh sengaja melakukan khianat dengan memecahkan cermin tingkap ruang tamu pengadu Robiah Mahidi.
Oleh demikian, tertuduh melakukan kesalahan di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
Pendakwaan kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.
sarawakvoice.com/2021/10/06
|