KUCHING: Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) tidak menaikan yuran kepada pelajar bagi semester pertama sesi 2021/ 2022, kata Naib Cancelor Unimas Profesor Datuk Dr Mohamad Kadim Suaidi.
Sebaliknya, beliau berkata pihaknya telah menurunkan yuran sebanyak 20 peratus. “Kami memang tidak menaikan yuran dan kami juga telah menurunkan yuran sebanyak 20 peratus bagi semester pertama sesi 2021/22,” katanya yang dihubungi pada Ahad.
Beliau mengulas mengenai kenyataan Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad bahawa semua universiti awam (UA) perlu mematuhi arahan mengurangkan yuran pengajian sebanyak 20 peratus kepada pelajar bagi semester pertama sesi 2021/2022.
Sementara itu, kira-kira seramai 1,300 orang pelajar lama Unimas dari Semenanjung, Sabah dan Sarawak dijangka kembali ke kampus pada bulan ini.
Mereka terdiri daripada pelajar kursus yang membabitkan keperluan khusus badan profesional yang mensyaratkan kuliah secara bersemuka seperti Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Fakulti Kejuruteraan, Fakulti Alam Bina and Fakulti Sains Kognitif dan Pembangunan Manusia (Program Kaunseling).
Selain itu ialah pelajar B40 dan pelajar yang berkeperluan dari segi kemudahan infrastruktur/fasiliti (seperti internet) bagi memastikan kumpulan berkenaan dapat mengikuti pembelajaran dengan lebih kondusif dan tidak terganggu.
Dalam pada itu, Unimas juga akan menyelaras keperluan pengangkutan membawa pelajar masuk ke kampus dari lapangan terbang bagi memastikan pengawalan penularan Covid-19. Malah, Unimas juga akan menyediakan kit ujian kendiri bagi memastikan pelajar bebas daripada jangkitan selain tidak mensyaratkan kuarantin kepada mereka.
sarawakvoice.com/2021/10/06
|