Port Dickson: Kepantasan anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Port Dickson berjaya menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki terselamat daripada lemas dalam kejadian di pantai Sea View, Tanjung Gemuk, di sini, hari ini.
Mangsa, Muhammad Nurmubien Muhammad Miqdam, 6, ditemui pada 6.40 petang pada jarak lebih kurang 10 meter dari persisiran pantai.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Sembilan, Ahmad Mukhlis Mukhtar berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian melalui Sistem Tindak Balas Kecemasan Malaysia (MERS) 999 pada 5.07 petang.
"Sebaik tiba di lokasi, keluarga mangsa memaklumkan anak mereka dikhuatiri lemas ketika mandi di pantai Sea View selepas tidak kelihatan di lokasi mereka berkelah.
"Operasi mencari dan menyelamat dijalankan berjaya menjumpai mangsa pada 6.40 petang pada jarak lebih kurang 10 meter dari persisiran pantai," katanya ketika dihubungi.
Beliau berkata, pasukan penyelamat terus memberi bantuan pernafasan kepada mangsa sebelum kanak-kanak itu dihantar ke Hospital Port Dickson untuk rawatan lanjut.