|
Usang tapi bernilai
Oleh Syah Rul Aswari Abdullah
[email protected]
Bukti kehebatan kita
JIKA bertandang ke luar negara, pasti kita dibawa melawat kawasan bersejarah untuk melihat peninggalan dahulu yang mencatat seribu kenangan.
Tembok Besar di China, istana Taj Mahal di India dan Piramid di Mesir antara monumen sejarah yang amat bernilai. Ia sentiasa dikunjungi pelancong di seluruh dunia untuk melihat hasil seni dan peninggalan masyarakat dahulu kala.
Sejarah tidak pernah berbohong dan tinggalan bersejarah yang masih kekal sehingga hari ini bukti bagi menceritakan kepada generasi hari ini apa yang berlaku ratusan atau ribuan tahun lalu.
Bayangkan jika negara ini tidak mempunyai tinggalan seperti kota A Farmosa atau bangunan lama di Pulau Pinang dan Kuala Lumpur, tentu generasi sekarang tidak dapat membayangkan bentuk bangunan, sistem politik dan ekonomi zaman dahulu.
Kita tahu Melaka ditawan Portugis pada 1511 tetapi A Farmosa menceritakan kekuatan kuasa Eropah itu dengan bangunan dan sistem pertahanan serta ketenteraan yang hebat.
Bangunan bersejarah itu sendiri mampu menceritakan apa yang berlaku, kisah suka duka, tangisan malah nyawa yang menjadi taruhan. Nilainya amat tinggi kerana sejarah tidak mungkin berulang.
Mengunjungi bangunan bersejarah sama ada di dalam atau luar negara ibarat kembali ke zaman dahulu kala. Bersantai ke kawasan itu seperti nostalgia yang sukar untuk diucapkan dengan kata-kata.
Usaha pihak tertentu mengekalkan bangunan bersejarah mempunyai alasan kukuh kerana tanpa sejarah, generasi hari ini akan hilang identiti dan maruah diri.
Justeru, apabila uasaha mahu merobohkan Rumah Bok di Jalan Ampang beberapa tahun dulu, ramai yang menentang.
Rumah dengan seni bina kolonial ini milik usahawan berjaya, Chua Cheng Bok dan pernah dijadikan bank ketika zaman pendudukan Jepun. Bangunan ini bertukar wajah kepada restoran mewah, Le Coq d'Or sebelum menutup pintunya pada 2001.
Begitu juga apabila ada ura-ura untuk mengambil alih pawagam Coliseum, bangunan berusia 86 tahun itu yang menjadi simbol kegemilangan zaman awal Kuala Lumpur.
Sehingga kini, 24 bangunan di ibu negara dikenal pasti Jabatan Muzium dan Antikuiti mempunyai nilai sejarah diwartakan sebagai bangunan Warisan Negara mengikut Akta 168 Kaedah Bendapurba 1976.
Ketika ini, semua bangunan berkenaan berada dalam keadaan baik dan digunakan jabatan tertentu, kecuali Balai Seni Lukis lama di Jalan Sultan Hishamuddin sedang dalam proses pembinaan dan dipulihara kembali.
Bangunan lama itu dirasmikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, pada 21 Mei 1984 asalnya Hotel Majestic yang diubah suai untuk fungsi balai seni lukis.
Selain itu, Pustaka Peringatan Kuala Lumpur di Jalan Raja yang dulu dikenali bangunan Percetakan Negara kini juga dikosongkan untuk dijadikan pejabat dan Galeri Model Kuala Lumpur.
Dua bangunan di bawah jagaan dan pemantauan DBKL ialah Panggung DBKL dan bangunan bekas Pustaka Peringatan Kuala Lumpur.
Ada tiga jenis program pengekalan dilakukan terhadap 15 bangunan yang mempunyai nilai sejarah dan terletak di kawasan warisan, tetapi tidak diwartakan iaitu dikekalkan keseluruhan luar bangunan, contohnya Panggung Coliseum dan Pasar Seni. Bangunan Plaza Warisan dan deretan bangunan di depan Pasar Seni misalnya dikekalkan sebahagian luar dan dalam bangunan manakala bangunan OCBC Bank di Jalan Tun Perak diroboh dan dibina semula.
FAKTA
Bangunan - Lokasi - Kegunaan
1. Sultan Abdul Samad - Jalan Raja - Kosong
2. Pejabat Pos Besar Persekutuan - Jalan Raja - Kosong
3. Infokraf - Jalan Sultan Hishamuddin - Pusat Kraftangan
4. Mahkamah Tinggi - Jalan Raja - Kosong
5. Pusat Penerangan - Jalan Tun Perak - Jabatan Penerangan
6. Standard Chartered - Jalan Raja - Muzium Sejarah
7. Bangunan Chow Kit - Jalan Belanda - Kosong
8. Dewan Bandaraya - Jalan Raja - Kosong
9. Masjid Jamek - Jalan Tun Perak - Masjid
10. Pejabat KTM - Jalan Sultan Hishamuddin - Pejabat KTM
11. Stesen Kereta api - Jalan Sultan Hishamuddin - Stesen Kereta api
12. Badan Pencegah Rasuah - Jalan Sulaiman - Kosong
13. Bangunan Sulaiman - Jalan Damansara - Pejabat Jawi
14. Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) - Jalan Pahang - Pejabat IMR
15. Hotel Majestic - Jalan Sultan Hishamuddin - Balai Seni Lukis Negara
16. SMK St John - Jalan Bukit Nanas - Sekolah
17. Residensi - Jalan Dato Onn - Memorial Tunku Abdul Rahman
18. Istana Negara - Jalan Istana - Istana
19. Memorial P Ramlee - Taman Furlong - Memorial
20. Istana Tetamu - Kebun Bunga - Hotel
21. Percetakan Negara - Jalan Raja - Pustaka Peringatan
22. Bekas Bangunan JKR - Jalan Raja - Infokraf
23. Pusat Seni - Jalan Tun HS Lee
24. Bahagian Polis - Jalan Semarak |
|
|
|
|
|
|
| |
Category: Belia & Informasi
|