|
Obses menghias kereta
Memang lain daripada yang lain. Namun berapakah kos yang diperlukan untuk pengubahsuaian ini?
KERETA Satria ini diberi nama Next Top Model oleh pemiliknya, Fazli.
KITA sering mendengar, kerana minat seseorang itu sanggup melakukan apa sahaja asalkan hati mereka puas. Begitulah juga dengan para peminat kereta yang sanggup berhabis puluhan ribu ringgit semata-mata ingin melihat kenderaan mereka lain daripada yang lain.
Bagi seorang pemilik Honda Stream, Saifudin Marzuki, 37, dia menghabiskan kira-kira RM60,000 semata-mata ingin menghias kereta agar tampak cantik dan memukau tatkala membelah jalan raya.
Katanya, walaupun telah melabur sejumlah wang yang besar untuk membeli segala aksesori dan alat ganti, hatinya puas berbuat demikian.
"Bagi saya, biar berhabis ribuan ringgit, asalkan hati puas, tidak mengapa. Apa yang penting kita tidak buat benda yang menyalahi undang-undang," katanya.
Dia yang bekerja sendiri memenangi kategori ekstrem pada Pameran Kereta Permas di Permas Jaya, Johor Bahru baru-baru ini.
| ORANG ramai tidak melepaskan peluang mengunjungi Permas Mall untuk memeriahkan Pameran Kereta Ekstrem 2008 di Permas Jaya, Johor.
|
Menurutnya, kereta itu telah ditambah dengan aksesori yang ekstrem seperti sistem audio selain sistem luaran dengan body kit terbaik," jelasnya.
Bagi seorang lagi peminat kereta, Hazman Hassan, 30, dia lebih gemar menghias kereta kancil yang dibelinya pada tahun 1994 dengan tema Hello Kitty.
Katanya, dia telah membelanjakan kira-kira RM35,000 untuk keseluruhan modifikasi kereta tersebut sehingga kelihatan menarik dan elegan.
"Saya telah memulakan projek mengubahsuai kereta ini sejak tahun 2004 dan saya puas dengan hasilnya biarpun terpaksa berbelanja besar.
| BEGINILAH sistem audio kereta Fazli selepas diubahsuai.
|
"Apa yang menarik, saya berkongsi hobi ini bersama isteri," katanya yang bekerja sendiri.
Dalam pada itu, pemilik kereta Proton Satria, Fazli Ahmad, 29, berkata, dia memberi nama keretanya itu Next Top Model. Dengan kombinasi warna putih mutiara selain beberapa aksesori lain ramai pasti menoleh dua kali sewaktu melihat Next Top Modelnya.
Katanya, dia mengubahsuai keretanya agar kelihatan seperti model Mitsubishi Mirage dengan kos setinggi RM15,000.
| HONDA City ini telah diubahsuai dengan ekstrem.
|
"Saya memang berusaha kumpul duit untuk mengubahsuai kereta kesayangan saya. Saya tidak kisah apa orang nak kata, asalkan saya puas," katanya.
Pameran kereta selama dua hari itu menarik lebih 1,000 pengunjung dan menyaksikan 80 penyertaan pelbagai kereta yang telah diubahsuai seperti Perodua, Proton, Nissan, Daihatsu, Suzuki dan Honda.
Pada pameran itu, ia menampilkan lima kategori iaitu Proton Standard, Proton Extreme, K-Car Standard, K-Car Ekstrem dan Terbuka.
Menurut Penyelaras pameran, Azrin Rizal Abu Bakar, tujuan ia diadakan untuk menghidupkan kembali pameran kereta selain meningkatkan kualiti pameran-pameran kereta ubahsuai berbanding sebelum ini.
| BAHAGIAN dalam kereta Kancil milik Hazman yang diubahsuai.
|
Selain itu, acara ini juga dapat mengeratkan hubungan antara peserta dan menjadi lokasi mereka bertukar-tukar pandangan berkenaan modifikasi kereta.
"Terdapat peserta yang datang dari Kuala Lumpur dan Melaka. Memang seronok kerana ia sudah seperti satu pameran peringkat kebangsaan," kata Azrin.
aku rasa kalu aku dok hias keta jazz aku... nampak mcm badut ler pulak... mungkin aku dekoret kapchai aku ler kot.. nampak cun sikit... awex pun ada selera nak naik... |
|
|
|
|
|
|
| |
|