View: 2392|Reply: 1
|
Belajar kenali payu dara sendiri
[Copy link]
|
|
Oleh ROSMAWATI MION
BARAH payu dara merupakan barah paling kerap berlaku di kalangan wanita seluruh dunia dan dikenalpasti sebagai pembunuh utama kaum Hawa.
Di Malaysia, Laporan Daftar Kanser Kebangsaan turut menyebut setiap satu daripada 19 wanita berisiko menghidap barah payu dara sepanjang hidupnya.
Masalahnya, meski wanita dibelenggu rasa bimbang, khuatir dan takut akan penyakit itu, hairannya masih ramai tidak mengambil kisah tentang pemeriksaan awal payu dara.
Itulah juga yang ditekankan Pakar Perunding Bedah Payu Dara, Pusat Perubatan Pantai (PMC) Bangsar, Dr. M. Devanand, dengan memberitahu, kebanyakan wanita tidak menjadikan pemeriksaan payu dara sebagai satu perkara wajib yang perlu dilakukan.
Malah katanya, sesetengah wanita tidak akan pergi ke hospital atau klinik untuk menjalani pemeriksaan selagi mereka tidak merasai ketulan atau kelainan pada payu dara mereka.
‘‘Sedangkan, pemeriksaan sendiri payu dara (PSPD) sepatutnya dilakukan setiap bulan. Ujian mamogram boleh dijalani setahun sekali khususnya buat wanita berusia 40 tahun ke atas.
‘‘Perlu diingat, jika barah dikesan awal bermakna rawatan lebih berkesan dapat dilakukan. Dan, lebih penting pesakit mungkin tidak perlu membuang seluruh payu dara ekoran barah berada di tahap teruk hanya disebabkan ia lewat dikesan,” katanya pada pelancaran kempen kesedaran barah payu dara, Wear It Pink Campaign Trail 2008 di PMC, Bangsar baru-baru ini.
Dr. Devanand berkata, jika wanita kerap melakukan pemeriksaan sendiri, mereka akan sedar andai wujud kelainan pada payu dara, biarpun sedikit.
Beliau yang juga pengerusi kempen tersebut memberitahu, bagi menggalakkan wanita melakukan pemeriksaan payu dara, semua Hospital Pantai akan memberikan potongan harga untuk ujian mamogram sepanjang bulan Oktober dan November.
Apa yang ditekankan Dr. Devanand memang ada kebenarannya. Ketika beliau memperkenalkan beberapa wanita yang didiagnosis mengalami barah payu dara, termasuk mereka yang telah sembuh, jelas rata-ratanya tidak melakukan pemeriksaan payu dara dalam rutin kehidupan mereka apatah lagi PSPD.
Wanita-wanita tersebut adalah ahli kumpulan Kelab Pantai Pink Harmony, isebuah kelab yang ditubuhkan pada Ogos 2008 untuk mereka yang mempunyai barah agar para pesakit dapat bersama-sama meluahkan isi hati dan memberi sokongan antara satu sama lain.
Rosni Osman, 40 - suri rumah
SEBELUM ini dirinya tidak pernah menjalani pemeriksaan atau ujian berkaitan payu dara kerana sangka Rosni, wanita berusia 40 tahun ke atas yang berisiko mendapat penyakit itu. Sedangkan dia ketika itu baru mencecah usia 36 tahun.
Malangnya, barah payu dara kini tidak mengenal usia. Sebaik mengetahui dirinya diserang barah payu dara, Rosni cekalkan hati melalui kehidupan mendatang. Bagaimanapun, kadang- kala kesedihan datang juga menjengah.
‘‘Sehari sebelum pembedahan, saya menangis sepuas-puas hati. Tetapi kemudiannya terfikir, bodohnya aku menangis bukannya hendak berjuang. Jadi, sejak itu saya kuatkan semangat demi anak-anak.
‘‘Saya juga beruntung kerana suami memahami dan memberi sokongan. Dia tidak pernah kisah sama ada fizikal saya cukup atau tidak. Anak-anak turut faham keadaan ibu mereka.
‘‘Sebenarnya, sewaktu mengetahui tentang ‘berita’ ini, suami yang lebih cemas. Namun, saya katakan pada dia, kalau dia berkeadaan begitu, macam mana saya hendak kuatkan diri hadapi semua ini,” kata ibu kepada dua orang anak itu.
Rosni bercerita, dia menyedari ada ketulan di bawah ketiak kirinya ketika sedang menyusukan anak bongsunya yang berusia setahun dua bulan.
Benjolan itu keras dan sebesar telur ayam. Hairannya, dia langsung tidak berasa sakit, tetapi khuatir tentang kesihatan diri dia terus ke klinik pada hari yang sama. Ujian mamogram dilakukan, Rosni positif mempunyai barah payu dara. Untuk lebih tepat, biopsi dilakukan dan jelas barahnya berada di tahap tiga.
Seminggu kemudian, pembedahan dilakukan. Sebelah payu daranya terpaksa dibuang. Kini, Rosni tidak mahu memikirkan perkara-perkara negatif, sebaliknya tabahkan hati dan tetapkan fikiran untuk berfikiran positif.
Amnah Mohammad Salleh, 40
Hatinya berdebar ketika merasai ketulan di bahagian payu dara, masakan tidak, usia Amnah ketika itu baru 20 tahun. Bagaimanapun, dia menarik nafas lega apabila hasil ujian biopsi menunjukkan positif bukan barah.
Hidup diteruskan tanpa terdetik rasa bimbang. Sehinggalah pada akhir tahun 2005, sedang duduk mengadap cermin, Amnah sengaja memegang payu daranya. Terkejut bila dirasa ada ketulan di bawah payu dara kanannya.
‘‘Saya sudah rasa ada sesuatu yang tidak kena. Langsung berjumpa doktor keluarga yang juga mengesahkan ada ketulan dan terus merujuk saya pada pakar. Setelah ujian dilakukan, saya cuma diberitahu, highly suspicious dan jadual pembedahan terus diatur.
‘‘Tetapi, saya tidak puas hati. Ekoran itu, saya dinasihatkan mencari pendapat kedua. Doktor kedua yang ditemui mengesahkan saya positif mempunyai barah payu dara tahap satu,” katanya.
Amnah berkata, tiga hari dia berkurung, tidak bercakap dengan sesiapa. Malah, membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) pun dia malas.
Tidurnya juga sering terganggu, asal terjaga pasti menangis. Apa yang difikirkan kala itu semuanya negatif dan timbul juga rasa khuatir, siapalah hendak menjaga tiga anak-anaknya.
‘‘Sampai saya buat rancangan hendak kahwinkan suami dengan pembantu rumah. Masa itu memang tidak pandang jauh. Hanya rasa hendak mati.
‘‘Tetapi, nasib baik saya mendapat sokongan moral daripada Persatuan Kanser Kebangsaan Malaysia (NCSM). Melalui pengalaman mereka yang berjaya melawan penyakit itu, saya bangkit semula,” katanya mengingati kisah lama.
Kini, Amnah sudah bebas daripada penyakit itu dan pengalaman yang dilalui sentiasa dikongsi bersama mereka yang baru didiagnosis barah payu dara dengan menjadi sukarelawan di Persatuan Kebajikan Kanser Payu Dara Wilayah Persekutuan dan Selangor (BCWA).
www.utusan.com.my |
|
|
|
|
|
|
|
kat hospital pantai tgh ada promosi check breast cancer ni![](static/image/smiley/default/biggrin.gif) |
|
|
|
|
|
|
| |
|