View: 3964|Reply: 0
|
Auction Artifak Sejarah -
[Copy link]
|
|
Membida artifak sejarah
Oleh ADHAM SHADAN
Dua arca gangsa kepala arnab dan tikus serta barangan peribadi milik Gandhi yang dilelong baru-baru ini dianggap sebagai satu penghinaan besar kepada negara China dan India.
BARAT dan Timur bercakaran lagi baru-baru ini. Walaupun pertelagahan itu, tidak melibatkan permainan senjata atau laungan propaganda, namun ia mungkin berupaya meruap sentimen dalam hubungan dua hala. Semuanya berkisar daripada insiden yang barangkali dilihat kecil iaitu lelongan.
Ada dua peristiwa lelongan yang menjadi kontroversi dalam beberapa minggu ini. Satu melibatkan lelongan dua arca gangsa yang berasal dari era Dinasti Qing di China oleh rumah lelong Christie di Paris, Perancis dan satu lagi melibatkan barangan peribadi pemimpin kemerdekaan India, Mahatma Gandhi yang dilelong di Antiquorum, Amerika Syarikat (AS).
Kedua-duanya dianggap oleh kerajaan China dan India, sebagai lelongan penghinaan. Asasnya mudah, lelongan itu sendiri boleh berubah membawa konotasi yang kurang baik jika barang yang dilelong adalah barangan yang amat berharga dan sungguh bermakna kepada sesebuah bangsa.
LELONGAN barangan peribadi milik Mahatma Gandhi terus diadakan
di Antiquorum, Amerika Syarikat walaupun mendapat bantahan
dari kerajaan India.
CAPAL yang pernah dipakai oleh Mahatma Gandhi turut dilelong.
Lelongan dua arca gangsa berupa kepala arnab dan tikus dari Dinasti Qing itu sudah pun berlangsung pada 26 Februari lalu walaupun kerajaan China telah menyuarakan bantahan. Barangan peribadi Gandhi menerima nasib yang sama apabila acara lelongan yang berlangsung semalam tetap diteruskan walaupun ditentang oleh kerajaan India.
Barangan peribadi Gandhi yang dilelong itu adalah kaca mata bulat, capal, jam poket dan pinggan mangkuk yang pernah digunakan tokoh India tersebut.
Sementara itu, dua arca gangsa berupa kepala arnab dan tikus itu dipercayai dirampas oleh tentera British dan Perancis dari Istana Musim Panas, China kira-kira 150 tahun yang lalu semasa era Perang Candu.
Dua arca itu dipercayai sebahagian daripada sedozen arca kepala haiwan zodiak Cina yang dicipta khusus untuk taman diraja semasa pemerintahan Maharaja Qianlong pada kurun ke-18.
Menurut BBC, arca-arca itu dipamerkan sebagai kepala air pancutan atau clepsydra, jam penentu masa menerusi air di istana yang dikenali sebagai Yuanmingyuan. Arca-arca itu dipercayai telah dirampas apabila istana tersebut dimusnahkan oleh tentera pakatan Anglo-Perancis pada 1860.
RAKYAT China menunjukkan protes terhadap acara lelong
dua arca gangsa dari Dinasti Qing di Hong Kong.
MAHATMA GANDHI
Buat masa ini, hanya lima yang berjaya dibawa kembali ke China, antaranya kepala harimau, kepala babi, kepala kerbau dan kepala monyet. Terima kasih kepada jutawan Macau, Stanley Ho yang mendapatkan semula sebahagian daripada arca tersebut dengan jumlah bidaan yang amat besar dalam beberapa acara lelongan sebelum mendermanya kepada muzium di China antara tahun 2000 hingga 2007. Arca-arca itu kini dipamerkan di Muzium Beijing.
Dalam lelongan baru-baru ini, arca berupa kepala arnab dan tikus itu dinamakan sebagai milik pereka fesyen terkenal Perancis, mendiang Yves Saint Laurent yang meninggal dunia pada tahun lalu bersama rakan kongsinya, Pierre Berge.
China mengecam keras acara lelongan itu kerana menyifatkan arca-arca tersebut sebagai barangan curi dan memberi amaran kepada rumah lelongan Christie bahawa rumah itu akan 'menerima akibatnya'.
"Pentadbiran Warisan dan Kebudayaan China (SACH) dengan tegas membangkang dan mengutuk semua lelongan artifak yang diambil secara haram. Christie perlu bertanggungjawab terhadap akibat lelongan tersebut," menurut agensi berkenaan dalam satu kenyataan.
"Setiap orang tahu yang objek itu merupakan harta yang dicuri oleh tentera Anglo-Perancis semasa Perang Candu dan telah berada di luar China selama bertahun-tahun lamanya," kata jurucakap kementerian luar China, Jiang Yu.
Bintang filem terkenal Hong Kong, Jackie Chan turut mengecam lelongan itu dengan menyifatkannya sebagai amat memalukan.
"Perbuatan ini amat memalukan. Ia tetap harta rampasan, tidak kira anda jual kepada siapa. Sesiapa sahaja yang mengambilnya dari China adalah pencuri. Ia harta rampasan semalam dan tetap harta rampasan hari ini," katanya kepada The Telegraph.
Bukan setakat itu, tindakan undang-undang turut diusahakan oleh para peguam di China.
Seorang peguam di Beijing, Liu Yang menyifatkan peristiwa Istana Musim Panas yang telah dimusnahkan oleh tentera Anglo-Perancis semasa Perang Candu Kedua pada 1860, masih menjadi parut berdarah bagi masyarakat China.
"Keengganan Christie memulangkannya kepada negara China amat melukai hati dan perasaan rakyat China," katanya yang turut mendakwa tindakan lelongan itu salah mengikut konvensyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1995 yang mengarahkan semua barangan kebudayaan yang dicuri dipulangkan ke negara berkenaan.
DUA arca gangsa yang berasal dari era Dinasti Qing yang berbentuk
kepala tikus (kiri) dan kepala arnab yang dilelong di Grand Palais,
Paris, Perancis baru-baru ini.
China sebenarnya sebelum ini telah meminta supaya kedua-dua artifak tersebut dipulangkan. Bagaimanapun kerajaan Perancis memberitahu mereka tidak menerima sebarang permohonan rasmi dan mahkamah di Paris menolak supaya artifak berkenaan tidak dilelong.
Sesetengah pihak turut melihat apa yang berlaku antara Perancis dan China itu sebagai rentetan persengketaan atau melambangkan pendirian sebenar Perancis ke atas China.
Pada tahun lalu, Beijing berang terhadap tindakan protes larian obor Olimpik Beijing di Paris berikutan tindakan Beijing ke atas Tibet. China juga membatalkan lawatan rasminya ke Paris setelah Presiden Perancis, Nicolas Sarkozy menemui pemimpin Tibet, Dalai Lama yang disifatkan Beijing sebagai orang buangan pada Disember lalu.
Namun begitu, ramai pakar berkata, China tidak mungkin berjaya membuat tuntutan kerana objek gangsa tersebut telah dirampas lebih seabad yang lalu.
Patty Gerstenblith, seorang profesor undang-undang di Universiti DePaul di Chicago, Amerika Syarikat yang merupakan pakar dalam isu hartanah kebudayaan berkata, Perancis tidak pernah mengakui konvensyen PBB itu dan jika pun mereka mempersetujuinya, ia tidak melibatkan objek yang dirampas sejak berkurun lamanya.
"Pada pandangan saya, ia merupakan barangan rampasan dan sukar untuk diperoleh kembali secara sah. Namun, kerana signifikan sejarahnya yang besar, ia sepatutnya dipulangkan," kata Gerstenblith. Konvensyen itu terhad untuk objek yang dicuri dalam tempoh 50 tahun.
Gerstenblith mencadangkan solusi terbaik ialah dengan Pierre Berge berunding dengan China dan menawarkan harga yang munasabah.
Christie dan Pierre Berge pula bertegas, lelongan berkenaan adalah sah.
"Kami kekal percaya bahawa jualan menerusi lelongan awam merupakan peluang terbaik untuk melakukan pemulangan kerana ia menyasarkan seluruh dunia," kata Christie.
Dalam pada itu, ada sesetengah pihak menempelak, kerajaan China sewajarnya menyerlahkan kebanggaannya terhadap barangan berharganya dengan sanggup 'berhabis' duit bagi mendapatkan semula barangan yang dianggap khazanah berharga bagi negara mereka.
Menurut agensi berita Xinhua, dianggarkan terdapat lebih satu juta objek bersejarah China yang berharga di seluruh dunia melibatkan 27 buah negara.
Walaupun menerima bantahan, acara lelongan dua arca gangsa itu tetap berlangsung dan telah diadakan di Grand Palais, Paris pada pertengahan minggu lalu. Setiap satu arca gangsa itu telah dilelong pada harga AS$20.3 juta (RM75.6 juta).
Menariknya, seorang lelaki yang mendakwa dirinya merupakan pembida tertinggi bagi lelongan itu merupakan seorang rakyat China.
Bagaimanapun, lelaki itu yang merupakan pengumpul barangan antik China, Cai Mingchao mendakwa dia adalah pembida tertinggi misteri menerusi telefon dan enggan membayarnya.
"Saya percaya, mana-mana rakyat China akan berusaha membawa pulang barangan berharga milik negara. Saya cuba menunaikan tanggungjawab saya ini," katanya.
Setakat artikel ini ditulis, sebab mengapa dia enggan membayar atau membelinya tidak dimaklumkan. Mungkin dia tidak mempunyai wang mencukupi atau tanda protes atau barangkali juga kerana dia berpegang kepada kata-kata Pengarah Jabatan Muzium SACH, Song Xinchao.
"Membeli barangan itu semula seakan kita mengiktiraf apa yang telah mereka ambil dari negara kita sebagai sah. Membeli barangan itu seolah-olah kita berkompromi kepada perkara yang salah dan bersifat jenayah," kata Xinchao.
Sementara itu, pelelong barangan Gandhi, Antiquorum di New York turut memalu gendang alasan yang hampir sama dengan rumah lelongan Christie tentang mengapa mereka meneruskan lelongan tersebut. Jika Christie menyatakan tidak mendapat sebarang permohonan rasmi dari negara China, Antiquorum pula memberi alasan tiada pihak tampil menghubunginya.
Jurulelong, Julien Schaerer dengan nada seakan-akan ego berkata, tentangan yang disuarakan kerajaan India sebelum ini membuatkan lebih banyak pihak berminat mendapatkan barangan peribadi Gandhi.
"Secara zahirnya, sebarang bentuk publisiti adalah publisiti yang baik," katanya.
Cicit Gandhi, Tushar Gandhi, sebelum ini berkata, lelongan barangan peribadi moyangnya itu sebagai satu penghinaan serius. Kerajaan India turut mengumumkan usaha untuk membawa balik barangan Gandhi tersebut.
*************************************************************************************
dah few weeks juga saya baca tentang auction artifacts ni... sama ada barang2 gandhi
atau artifacts dari dynasty Qing in china...
personally saya rasa tak patut barang2 ini di auctionkan regardless banyak duit yang
akan dapat untuk ini... tapi sepatutnya barang2 ini diletakkan di museum negara
masing2.. national museum etc... macam barang2 sejarah usa - semuanya ada kat
smithsonian.. depa tak akan auctionkan... jadi semua orang akan berpeluang mengetahui
sejarah2 tentang artifact berkenaan --
banyak cons nya bila auctionkan barang2 ini instead of letak kat museum -
1 - hanya individual tertentu aje yang mampu memilikinya -
2 - orang2 yang akan datang tak dapat nak tengok barang2 ini
secara langsung
3 - still will cost too much - kalau museum nak sewakan untuk buat pameran
or something like that -
4 - secara tak langsung - itu hak kerajaan tertentu -- dan milik bersejarah - bila buat
auction... macam tak appreciate artifacts ni - |
|
|
|
|
|
|
| |
|