|
Pesakit HRPB dapat akhbar Utusan Malaysia percuma
IPOH 17 Dis. - Pusat Kecantikan Eravida menaja 1,000 naskhah akhbar Utusan Malaysia bernilai RM1,200 untuk diedarkan kepada para pesakit di Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) di sini.
Menerusi tajaan itu, sebanyak 50 naskhah Utusan Malaysia diedarkan setiap hari selama 20 hari kepada pesakit-pesakit terbabit bermula semalam.
Majlis penyerahan dilakukan oleh pengurus pusat kecantikan itu, Safura Mohd. Talib kepada Timbalan Pengarah HRPB, Dr. Rahimi Goon di sini semalam.
Hadir sama, Eksekutif Pemasaran Zon Utara 2, Utusan Melayu (M) Bhd. cawangan Perak, Ajani Basri.
Safura berkata, tajaan akhbar tersebut adalah sebagai sebahagian daripada tanggungjawab sosial pihaknya dalam usaha membantu para pesakit mendapatkan maklumat menerusi akhbar dan mengurangkan rasa bosan mereka.
"Saya yakin kandungan maklumat yang terdapat dalam akhbar ini boleh membantu menggalakkan orang ramai membaca di samping memperkenalkan jenama yang ditawarkan oleh syarikat kami kepada para pelanggan," katanya.
Beliau berkata, pihaknya bekerjasama dengan Utusan Malaysia memandangkan akhbar ini antara akhbar pilihan ramai.
Dalam perkembangan lain kata Safura, pusat kecantikannya memperkenalkan dua lagi perkhidmatan iaitu bekam dan urutan lelaki sejak seminggu lalu.
"Perkhidmatan ini ditawarkan pada hari Sabtu dan Ahad sahaja dengan harga yang berpatutan," katanya.
Selain itu katanya, turut ditawarkan ialah perkhidmatan terapi lintah dan rawatan wajah iaitu dari kedut menjadi tegang dan mencerahkan wajah dengan menggunakan teknologi nano dari Perancis.
Harga rawatan wajah kini ditawarkan dengan harga promosi minimum RM299.
Sementara itu, Dr. Rahimi berkata, sumbangan akhbar Utusan Malaysia kepada HRPB ini akan membantu pesakit meningkatkan pengetahuan mereka.
Beliau berharap, pesakit yang mendapat rawatan di hospital itu akan menggunakan masa terluang mereka dengan membaca akhbar Utusan Malaysia yang mempunyai pelbagai kandungan bahan menarik. |
|