Kuala Terengganu: Trend penghantaran barangan menggunakan perkhidmatan kurier menjadi modus operandi terbaru sindiket pengedaran dadah di negeri ini.
Dengan mengisytiharkan bungkusan barangan sebagai bahan kosmetik, sindiket terbabit dikatakan licik melakukan penghantaran bahan terlarang itu kepada rangkaian pengedaran di seluruh daerah negeri ini.
Namun, taktik itu berjaya dikesan polis sebelum merampas tiga bungkusan dadah secara berasingan masing-masing dua di Kuala Terengganu dan satu di Marang, sejak Jun lalu.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Terengganu, Superintendan Tium Ming Kung berkata, rampasan itu dilakukan dengan kerjasama syarikat perkhidmatan berkenaan.
"Polis turut menahan seorang lelaki tempatan berusia 30-an ketika melakukan urusan penghantaran bungkusan 'dadah' ke Kemaman .
"Walau selicik manapun kegiatan pengedaran itu dilakukan, kita memiliki banyak saluran maklumat dan kerjasama diberikan syarikat kurier sangat baik," katanya pada Majlis Pelancaran Ops Jihad Dadah 2.0, di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Terengganu, di sini.
Majlis yang diadakan serentak di tujuh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) negeri ini disempurnakan Ketua Polis Terengganu Datuk Rohaimi Md Isa.
Tium berkata, hasil penahanan suspek lelaki terbabit, pihaknya merampas kira-kira 50 gram dadah jenis heroin.
Katanya, pihaknya akan terus bekerjasama dengan syarikat penghantaran bagi mengesan dan melumpuhkan kegiatan pengedaran dadah di negeri ini.