Hospital Bukit Mertajam tutup wad COVID-19Oleh Nur Izzati - Oktober 16, 2021 @ 3:03pm
![](https://assets.bharian.com.my/images/articles/fgnngfngfgnfnfnfgf_1634367790.jpg)
Steven (tengah) Dr Goh Hin Kwang (kanan) dan Ketua Jabatan Kecemasan dan Trauma hospital, Dr Illiana Syahmun Mohd Razali ketika meninjau projek menaik taraf Unit Kecemasan Hospital Bukit Mertajam, hari ini. - Foto NSTP/DANIAL SAAD
BUKIT MERTAJAM: Wad COVID-19 Hospital Bukit Mertajam akan ditutup bagi menumpukan rawatan pesakit lain yang tertangguh.
Pengarah hospital, Dr Goh Hin Kwang, berkata dua wad ditutup semalam dan baki dua lagi dijangka akan ditutup pada hujung minggu hadapan.
Katanya, pesakit COVID-19 akan dihantar ke Hospital Kepala Batas.
"Kita dapat kembali memberi tumpuan dalam perawatan bukan COVID-19 yang sudah tertangguh," katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengiringi lawatan Ahli Parlimen Bukit Mertajam, Steven Sim Chee Keong yang meninjau Zon Pengurusan Krisis dibina di Unit Kecemasan hospital berkenaan, di sini, hari ini.
Zon pengurusan krisis yang menempatkan 32 katil itu dibangunkan menggunakan dana yang disumbangkan bekas jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei melalui yayasannya.
Dr Goh berkata, selain Chong Wei, pihaknya juga menerima sumbangan daripada pelbagai badan korporat, orang awam dan pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO) bagi menjayakan projek menaik taraf unit kecemasan itu.
"Projek ini menelan perbelanjaan antara RM500,000 hingga RM600,000," katanya.
|