KUCHING: Kadar purata pengangguran di negara ini menunjukkan peningkatan pada dua bulan pertama tahun ini bagi golongan berusia antara 15 hingga 30 tahun iaitu tidak kurang 9.2 peratus.
Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, dalam tempoh yang sama, Sarawak antara negeri yang mempunyai kadar penyertaan tenaga buruh melebihi kadar nasional iaitu sebanyak 69.4 peratus.
Menurutnya, data itu berdasarkan Laporan Survei Tenaga Buruh Malaysia. “Justeru banyak inisiatif dirangka untuk membantu belia Sarawak dalam mendepani cabaran ketika pandemik Covid-19, sekali gus dapat membentuk belia bertaraf dunia sejajar dengan Domain Pembangunan Kesukarelawanan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam Program Ziarah Belia anjuran Kementerian Belia dan Sukan siri keempat di Balai Ringin . Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Kesenian itu menggesa belia Sarawak agar mengambil peluang ekonomi untuk memajukan diri selaras dengan era ekonomi digital.
Beliau mengakui amat peka dengan cabaran dan masalah yang dihadapi oleh belia khususnya isu pengangguran, kesihatan mental, masalah jenayah dan lain-lain.
“Program ini bertujuan melahirkan juara belia Sarawak yang mempunyai semangat kesukarelawanan dan sikap prihatin untuk membantu masyarakat di samping dapat mengupas permasalahan belia yang memerlukan bantuan semasa pandemik ini,” jelasnya.
Dalam pada itu, sebanyak 30 Persatuan Belia di kawasan Balai Ringin menerima kit ujian kendiri Covid-19 selain sumbangan berbentuk peralatan keperluan pandemik seperti pelitup muka, cecair pembasmi kuman dan termometer.
Melalui program itu, beliau berharap lebih ramai belia dapat melibatkan diri secara aktif dalam aktiviti kesukarelawanan untuk membantu masyarakat menghadapi cabaran ketika pandemik ini.
“Penglibatan belia dalam program seumpama ini mampu menjayakan visi Kementerian Belia dan Sukan Sarawak iaitu Sukan dan Belia Kelas Dunia Untuk Semua pada 2030,” ujarnya.
Beliau turut mengingatkan orang awam agar sentiasa menjaga kesihatan diri dan patuhi SOP serta menjadi belia yang berilmu, bertanggungjawab, prihatin dan berbakti kepada negeri dan negara.
suarasarawak.my/2021/10
|