KUCHING: Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman penjara terhadap dua warga Indonesia atas kesalahan melakukan aktiviti judi dalam talian.
Rokiah Rayani, 28, dan Edowardi, 26, mengaku bersalah atas tuduhan dibacakan secara berasingan oleh jurubahasa di hadapan Majistret Zubaidah Sharkawi.
Rokiah didakwa melakukan aktiviti perjudian menggunakan telefon pintar di rumah sewa beralamat Blok B, Taman Sepakat Jaya, Jalan Bako sekitar 8.45 malam pada 5 Mei lepas dan dikenakan hukuman penjara lima bulan dari tarikh dia reman 11 Jun lalu.
Manakala, Edowardi dituduh melakukan aktiviti judi dalam talian di sebuah rumah di Kampung Muara Tebas, kira-kira 12.30 petang pada 13 Julai lepas dan dijatuhkan hukuman penjara dua bulan bermula hari ini.
Kedua-dua tertuduh didakwa di bawah Seksyen 4B (a) Akta Rumah Judi Terbuka 1953 dengan pendakwaan kes dikendalikan oleh pendakwa raya, ASP Rogayah Rosli dan Inspektor Nur Syafiqa Nyaie Ilin.
sarawakvoice.com/2021/10/20
|