Hamdan bersama Sebastian, Lee, Dr Sim, Khirudin dan yang lain semasa majlis penyampaian anugerah.
MIRI: Kadar kematian akibat lemas di Sarawak adalah yang tertinggi di Malaysia ketika ini, sekali gus mencetus kebimbangan dan keperluan untuk menubuhkan pasukan khas pegawai bomba bantuan Pasukan Penyelamat dan Keselamatan Air (SWART) di negeri ini.
Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata pasukan khas SWART yang telahpun ditubuhkan di dua negeri di pantai timur, akan diperluaskan ke Sarawak.
"Tumpuan kita sekarang adalah pada dua perkara utama, iaitu pertama, keselamatan kebakaran dan yang kedua lemas, kerana kes lemas di Malaysia adalah empat ganda kali lebih banyak berbanding korban akibat kebakaran.
"Kematian akibat kebakaran (di Malaysia) adalah kira-kira 150 mangsa setiap tahun. Tetapi kematian yang disebabkan oleh lemas adalah empat kali lebih tinggi, Oleh sebab itu, kita membentuk pasukan khas pegawai bomba bantuan Safety Water And Rescue Team (SWART) dan pasukan ini sudah berjaya di Kedah dan Terengganu," ujarnya pada sidang media di sini, hari ini.
Terdahulu beliau selepas menghadiri Majlis Pengaugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2020 JBPM Sarawak. Turut hadir, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sarawak Datu Khirudin Drahman dan Timbalan Pengarah Bomba Sarawak Tiong Ling Hii.
Hamdan berkata, JBPM sedang berusaha mengenal pasti titik panas untuk kes-kes lemas di negeri ini sebelum mewujudkan SWART.
Beliau memberitahu, bahawa terdapat dua jenis titik panas, iaitu pertama ialah tempat berisiko tinggi dan kedua tempat berisiko tahap sederhana.
"Sekiranya lima kematian dicatatkan di kawasan yang sama dalam masa dua atau tiga tahun, maka tempat itu akan dianggap sebagai kawasan berisiko tinggi. Tempat berisiko sederhana ialah kurang dari lima (kematian) tetapi lebih dari dua," tambahnya.
Beliau memberitahu bahawa JBPM merekodkan antara 450 hingga 500 kematian setiap tahun disebabkan oleh kes lemas.
"Oleh sebab itu pasukan bomba perlu bertindak balas. Ada beberapa kes pihak bomba tidak bertindak balas kerana mangsa sudah diselamatkan atau dipulihkan oleh penduduk kampung atau agensi lain dan ini tidak termasuk dalam data kami.
"Manakala Sarawak pula penyumbang data paling tinggi dalam statistik (bomba) dan kami memandang serius perkara ini," katanya.
Dalam perkembangan lain, Hamdan memberitahu JBPM kini bersiap sedia menghadapi banjir dan dalam keadaan pandemik ketika ini, katanya, ia adalah cabaran terbesar bagi JBPM yang akan menguruskan situasi 'bencana dalam bencana'.
"Kami berharap tidak akan ada krisis yang besar kerana kita turut menjalin kerjasama erat dengan pelbagai agensi dan juga perancangan terperinci sebelum, semasa dan selepas bencana. Kami telah menghadapi dan mengatasinya setiap tahun," katanya lagi.
Hamdan berkata jika berdepan dengan krisis yang 'melampau' JBPM akan mengaktifkan operasi siaga peringkat kedua dan bersiap sedia untuk menggerakkan lebih banyak anggota dan aset ke seluruh negara.
"Satu perkara yang unik mengenai Sarawak adalah 'topografi dan geografinya. Oleh kerana kita mempunyai 36 stesen bomba (di Sarawak), kita tidak dapat merangkumi setiap inci negeri tetapi, kita bekerjasama dengan perkhidmatan sukarelawan serta bekerjasama dengan masyarakat melalui program mendekati komuniti kita," ujar beliau sambil menambah kata, satu darinya yang penting ialah pasukan bomba sukarela (PBS), yang ditubuhkan di setiap daerah.
"Pelantikan pasukan sukarelawan Bomba di daerah-daerah ini akan menjadi telinganya kepada agensi kerajaan dan JBPM sebelum kami sampai di sana," katanya.
Terdahulu di majlis yang sama, Hamdan turut menyampaikan pingat penghargaan jabatan kepada 30 penerima sementara 99 penerima menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang.
Antara penerima pingat penghargaan semalam ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Dr Sim Kui Hian; Menteri Pengangkutan Datuk Lee Kim Shin dan Menteri Muda Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Datuk Sebastian Ting.
utusanborneo.com.my/2021/10/20
|