KOTA KINABALU: Satu kluster COVID-19 baharu dalam komuniti dikesan pada 23 Oktober 2021 yang melibatkan seorang pekerja mekanik.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Panglima Masidi Manjun berkata, Kluster Blok 03, Kinabatangan diklasifikasikan sebagai kluster komuniti yang menular di salah sebuah ladang sawit.
"Kes indeks adalah ketua mekanik, warga tempatan, 58, yang menjalani saringan masuk kerja ke ladang di sebuah klinik swasta di Lahad Datu pada 21 Oktober 2021. "Dalam saringan itu, kes indeks dikesan positif 100 peratus grading RTK-Ag dan telah dirujuk ke Hospital Kinabatangan.
"Aktiviti persampelan kontak seterusnya mendapati seramai 19 kes positif COVID-19 dalam kalangan kontak sosial, pekerja dan tanggungan," katanya dalam satu kenyataan di sini, semalam.
Beliau berkata, siasatan persampelan COVID-19 dan disinfeksi masih diteruskan di lapangan untuk menilai sebaran jangkitan dan risiko kemungkinan jangkitan lebih meluas kepada pekerja ladang lain yang berhampiran.
Sementara itu katanya, sebanyak empat kes kematian dilaporkan pada hari yang sama iaitu Kota Kinabalu, Penampang, Tawau dan Kinabatangan masing-masing mencatatkan satu kes kematian.
utusanborneo.com.my/2021/10/24
|