|
Putus kasih gara-gara bawa gen talasemia
TANGKAP layar saat terakhir Szasza bersama kekasihnya sebelum berpisah kerana kedua-duanya menghidap talasemia. - Gambar TikTok
Jakarta: Akibat menjadi pembawa gen talasemia, dua sejoli di Indonesia terpaksa memutuskan ikatan cinta mereka.
Pengorbanan itu dilakukan Szasza Gusmantara, 21, dan kekasihnya, Reynatha Gunawan, 22, dari barat Jakarta demi memikirkan masa depan keturunan mereka.
Menurut wanita itu, dia disahkan menghidap talasemia minor ketika remaja lagi.
Katanya, walaupun penyakit itu tidak menimbulkan kesan sampingan sakit hingga membolehkannya melakukan rutin harian, namun doktor berpesan jangan memilih pasangan mempunyai penyakit sama.
"Segala-galanya bermula apabila ibu bapa saya meminta teman lelaki membuat ujian pengesanan talasemia memandangkan hubungan kami semakin serius.
"Namun, kekasih saya tidak mengendahkan permintaan itu kerana menganggap ia bukanperkara penting apatah lagi kos membuat ujian darah sangat mahal kira-kira 1.5 juta rupiah (RM437).
"Saya memintanya membuat ujian hematologi sebagai iktiar lain selepas mengetahui keluarganya juga mempunyai sejarah penyakit itu," katanya dihubungi Tribunnews.com, semalam.
Menurut Szasza, keputusan ujian itu menunjukkan ada tanda talasemia dalam darah kekasihnya.
"Perkara itu membuatkan kami tidak tenang dan kerap bertengkar memikirkan kesan buruk iaitu putus hubungan.
"Akhirnya, 23 Ogos lalu kami akur dengan takdir kerana kekasih saya juga disahkan pembawa talasemia, selepas dipujuk menjalani ujian pemeriksaan penyakit itu," katanya.
Katanya, walaupun berat hati, dia memutuskan mengakhiri ikatan cinta sejak tiga tahun lalu demi memikirkan masa depan anak mereka kelak.
"Kekasih saya enggan putus kerana beranggapan masih ada jalan lain tetapi saya tidak mahu ada masalah lebih besar di kemudian hari nanti.
"Pendirian saya itu dihormati kekasih yang turut sepakat mengakhiri hubungan kami," katanya.
Katanya, sebelum membawa haluan masing-masing mereka sempat merakamkan detik terakhir sebagai pasangan kekasih untuk kenangan.
Video dikongsi menerusi akaun TikTok, @szasaccount itu ditonton lebih 3.7 juta serta meruntun hati warganet dengan pengorbanan cinta mereka.
SumbeR:https://www.hmetro.com.my/utama/ ... -bawa-gen-talasemia
|
Rate
-
2
View Rating Log
-
|