Keadaan motosikal ditunggang mangsa yang terbabas dalam kejadian tersebut.
MUKAH: Seorang lelaki maut apabila motosikal yang ditunggangnya terbabas di Jalan Mukah/Selangau pada petang Ahad.
Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 petang, mangsa, Welta Melaka, 30, yang tinggal di Rumah Landas Batu 3, Jalan Selangau/Mukah, Selangau, Sibu, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah pada bahagian rusuk sebelah kanan.
Ketua Polis Daerah Mukah Deputi Superitenden Muhamad Rizal Alias berkata, siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang bergerak lurus dari arah Selangau menuju ke Mukah.
"Ketika tiba di suatu tempat di Jalan Mukah/Selangau, motosikal mangsa telah hilang kawalan lalu terbabas ke kiri jalan.
"Akibat kemalangan tersebut mangsa yang bekerja sebagai kelindan lori di sebuah syarikat di sini, meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam satu kenyataan hari ini. Muhamad Rizal berkata, mayat mangsa kemudian dibawa ke Hospital Mukah untuk tindakan lanjut.
Selain itu, beliau juga meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian malang itu tampil memberi maklumat.
Katanya, kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.
utusanborneo.com.my/2021/10/25
|