KUCHING: Setiausaha Agung Parti Sarawak Bersatu (PSB) George Lo (gambar) berkata tidak masuk akal untuk mengadakan pilihan raya negeri (PRN) dalam waktu terdekat ini ketika penggunaan katil di unit rawatan rapi (ICU) bagi pesakit COVID-19 yang tinggi di hospital-hospital di negeri ini.
Beliau berkata ketika ini peratusan penggunaan katik di ICU di negeri ini ialah 80 peratus dan Sarawak merekokkan jumlah kematian akibat COVID-19 terbanyak pada 23 Oktober 2021 maka amat perlu untuk Gabungan Parti Sarawak (GPS) menangguh PRN sehingga sekurang-kurangnya selepas 1 Februari tahun depan.
"Hospital kita bakal berdepan masalah dan ramai akan kehilangan nyawa (jika PRN diadakan). Mana mungkin politik lebih penting daripada nyawa rakyat," katanya dalam kenyataan, hari ini.
Lo juga menyangkal kenyataan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang juga Pengerusi GPS baru-baru ini mengatakan PRN ke-12 perlu diadakan sebelum tamat Darurat kerana kerajaan sekarang sudah tiada mandat lagi dengan mengatakan alasan itu 'mengarut'.
"Mereka memerlukan mandat baharu Jun lalu, bukan sekarang. Buat masa ini, GPS boleh menunggu sehingga 1 Februari tahun depan apabila Yang di-Pertuan Agong mengisytiharkan Perintah Darurat di Sarawak tamat.
"Sesiapa sahaja yang mempunyai pandangan sama, boleh melihat betapa terdesaknya (GPS) mengadakan pilihan raya sebelum 31 Disember 2021 bagi mengelak pelaksanaan Undi 18," ujarnya.
utusanborneo.com.my/2021/10/25
|