Mohammad Korshed menerangkan hadiah krusye (crochet) kepada Uggah sambil disaksikan oleh Fared dan Mohamad Abu Bakar.
KUCHING: Bangladesh teruja untuk memenuhi keperluan pekerja di Sarawak dalam pelbagai sektor terutamanya sektor perladangan.
Bagaimanapun, ia perlu dilaksanakan atas dasar antara kedua-dua kerajaan, kata Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Bangladesh, Mohammad Khorshed A Khastagir.
Beliau berkata demikian ketika mengadakan kunjungan hormat ke atas Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas di pejabat Wisma Bapa Malaysia di sini, hari ini.
Tambah beliau, Bangladesh juga bersedia untuk mematuhi kriteria terkini Malaysia dalam menerima pekerja asing iaitu mereka mesti telah melengkapkan dua dos suntikan vaksin COVID-19.
“Pejabat Suruhanjaya Tinggi Bangladesh bersedia untuk menampung penghantaran pekerja.
"Sebagai permulaan, pihak kami boleh menghantar kira-kira 3,000 pekerja," katanya.
Mohammad Khorshed menambah, terdapat banyak perkara yang boleh dikongsi oleh Bangladesh dan Sarawak dalam sektor pertanian.
Dalam pada itu, Uggah dalam ucapannya berkata Sarawak memerlukan ramai pekerja khususnya dalam sektor kelapa sawit.
“Kami pastinya mengalu-alukan lebih ramai pekerja untuk membantu dalam penuaian.
“Pandemik COVID-19 telah membawa banyak cabaran yang belum pernah berlaku sebelum ini dan ia termasuklah kekurangan pekerja.
“Sehubungan itu, mengenai tawaran pekerja, saya akan membawa perkara ini kepada Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari untuk pertimbangan selanjutnya,” katanya.
Bagaimanapun bagi pekerja asing menurut Uggah, ia perlu dibuat melalui Kementerian Luar Negeri di Putrajaya.
Uggah berkata Sarawak juga mengalu-alukan pelabur dalam pembiakan ternakan dan pertanian persis moden dalam usahanya menjadi pengeksport makanan bersih dan produk makanan menjelang 2030.
"Kami juga berminat dalam sektor perladangan padi dan pembinaan kapal antara lainnya,” tambah Uggah.
Turut hadir, Setiausaha Pertama Kedutaan Bangladesh Fared Ahmed dan Timbalan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Dato Sri Mohamad Abu Bakar Marzuki.
utusanborneo.com.my/2021/10/27
|