|
Azizan Khamis, 53, (depan sekali) dari Kedah, bersama 18 ahli keluarganya tiba di Jeti Kuala Besut untuk ke Pulau Perhentian. - NSTP//NURUL FATIHAH SULAINI
BESUT: Pulau Perhentian kini kembali meriah dengan kunjungan pelancong selepas segala aktiviti pelancongan di pulau peranginan terkenal itu ditangguhkan berikutan penularan COVID-19.
Tinjauan di Jeti Kuala Besut di sini mendapati kedatangan pelancong tempatan ke Pulau Perhentian, sama ada secara pakej harian atau bermalam meningkat terutama pada cuti hujung minggu.
Rata-rata pelancong yang ditemui menjelaskan, mereka mengambil kesempatan melancong ke pulau berkenaan secepat mungkin kerana bermula pertengahan November nanti, ia akan ditutup semula berikutan musim tengkujuh.
Azizan Khamis, 53, dari Kedah, berkata dia bersama 18 ahli keluarganya mengambil pakej harian untuk menikmati keindahan alam semulajadi di pulau itu.
Saya pulang menziarahi keluarga mentua di Kelantan selepas hampir dua tahun tidak berjumpa. Peluang ini digunakan untuk mengunjungi Pulau Perhentian, yang juga kunjungan pertama saya. Memang seronok boleh bawa keluarga bercuti di pulau, pemandangan pun cantik dan menarik," katanya.
Natrah Aina Samsul Bahari, 24, pula berkata, dia memilih bercuti di pulau itu pada hari biasa berbanding cuti hujung minggu kerana suasana lebih santai dan tidak perlu bersesak dengan orang ramai, tambahan pula negara belum bebas daripada COVID-19.
"Harga pakej dan penginapan juga lebih rendah berbanding hari cuti, sekali gus dapat menjimatkan kos," katanya yang juga penduduk negeri ini.
Pemandu bot pelancong, Raja Zurkarnain Raja Mansor, 24, yang sudah tujuh tahun berulang-alik membawa pelancong ke pulau berkenaan, mengakui pendapatan terjejas sepanjang negara dilanda COVID-19 kerana aktiviti pelancongan terpaksa dihentikan.
"Selepas hampir tujuh bulan tiada pendapatan, saya sedikit lega apabila kerajaan membenarkan semula pelancong datang ke pulau ini walaupun untuk sementara sebelum musim tengkujuh tiba nanti. Kapasiti pelancong untuk setiap bot bergantung pada jumlah dibenarkan dan mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan," katanya.
Pembantu kedai cenderamata yang mahu dikenali sebagai Ida, 25, berkata aktiviti perniagaan di jeti itu semakin rancak sejak sebulan lalu.
|
Rate
-
1
View Rating Log
-
|