COVID-19: 528 kes baharu, 19 kematian di Sarawak
KUCHING: Sarawak hari ini merekodkan 528 kes baharu COVID-19 menjadikan jumlah kumulatif kes di negeri ini kini berjumlah 242,052.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) berkata daripada 528 kes baharu dilaporkan hari ini, 181 adalah kategori satu (tiada gejala), 336 pula kategori dua (gejala ringan), tiga kategori tiga (jangkitan paru-paru), empat kategori empat (jangkitan paru-paru dan memerlukan oksigen) dan baki empat kes kategori lima (jangkitan paru-paru dan memerlukan ventilator).
JPBNS juga memberitahu Kuching terus merekodkan jumlah kes harian tertinggi iaitu 174 diikuti Miri (95), Sibu (61), Bintulu (34), Limbang (24), Dalat (23), Lawas (22), Serian (13), Mukah (10), Sarikei (7), Subis (7), Kapit (6), Sri Aman (4), Samarahan (4), Song (4) dan Meradong (4).
“Kes baharu hari ini turut dilaporkan di Kanowit (4), Kabong (4), Lubok Antu (4), Betong (3), Bau (3), Tebedu (1), Bukit Mabong (1) serta masing-masing dua kes di Saratok, Pusa, Lundu, Selangau, Belaga, Asajaya, Julau dan Beluru,” katanya dalam kenyataan hari ini.
JPBNS juga memaklumkan sebanyak 19 kematian akibat COVID-19 dilaporkan di Sarawak dari 29 Oktober hingga 1 November 2021.
Pada 29 Oktober 2021 katanya, dua kes kematian dilaporkan di Miri melibatkan wanita masing-masing berusia 46 dan 76 tahun manakala dua lagi kematian direkodkan di Kuching pada hari sama membabitkan dua lelaki berusia 29 dan 50 tahun.
“Pada 30 Oktober 2021, tujuh kes kematian akibat komplikasi jangkitan COVID-19 direkodkan di Sarawak membabitkan mangsa berusia antara 72 hingga 95 tahum, dengan kesemuanya meninggal dunia di hospital dan mempunyai pelbagai latar belakang penyakit.
“Empat lagi kematian direkodkan pada 31 Oktober iaitu dua kes di Kuching membabitkan mangsa lelaki dan wanita masing-masing berumur 35 dan 77 tahun. Dua lagi kes iaitu satu di Miri, mangsa wanita, 61 tahun dan satu lagi di Mukah membabitkan wanita berumur 46 tahun,” katanya.
Sementara itu pada 1 November 2021, sejumlah empat lagi kematian direkodkan dengan satu kes di Miri membabitkan seorang lelaki berusia 76 tahun manakala tiga lagi kes kematian di Kuching membabitkan lelaki berusia antara 52 hingga 81 tahun.
“Kesemua mangsa mempunyai ko-morbid antaranya darah tinggi dan kanser, obesiti, penyakit jantung, penyakit buah pinggang kronik, dan kencing manis,” jelasnya.
Dalam perkembangan sama, JPBNS memaklumkan tiada kluster baharu dan tiada kluster ditamatkan pada hari ini, menjadikan sejumlah 27 kluster COVID-19 aktif di Sarawak.
“Manakala Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Rh. Mullok, Lempa Antu di Pakan diisytiharkan tamat pada hari ini (2 November 2021),” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/02
|