Edited by Vellfire at 2-11-2021 01:44 PM
Kerajaan negeri komited bangunkan Sibu capai wawasan status bandar raya menjelang 2031
![](https://www.utusanborneo.com.my/sites/default/files/images/article/20211102/whatsappimage2021-11-02at53132pm1.jpeg)
Abang Johari semasa berucap merasmikan sambutan Majlis Ulang Tahun MPS Ke-40 menerusi aplikasi Zoom, hari ini.
SIBU: Kerajaan negeri mempunyai beberapa projek besar dalam perancangan untuk Sibu bagi mencapai wawasan status bandar raya menjelang 2031.
Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata projek-projek berkenaan ialah pelan pembangunan semula Bukit Assek, pembesaran kawasan bandar dan komersial Sibu, menaik taraf infrastruktur digital dan pengisytiharan Bukit Lima sebagai rizab alam semula jadi.
Beliau berkata projek-projek ini akan dilaksanakan dalam tempoh Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 dengan Sibu sudah mempunyai semua prasyarat termasuk universiti untuk menjadi sebuah bandar raya menjelang 2031.
"Majlis Perbandaran Sibu (MPS) telah mencapai kejayaan besar dalam mentransformasikan Sibu sejak 40 tahun lalu.
"Kini, adalah masa untuk melihat ke hadapan untuk 40 tahun akan datang atau sekurang-kurangnya 10 tahun akan datang.
"MPS mempunyai objektif untuk menjadikan Sibu sebagai sebuah bandar raya pada 2031 dan oleh itu untuk 11 tahun akan datang, kita perlu bekerja keras dan merancang Sibu supaya status bandar ini dapat dicapai," katanya ketika merasmikan sambutan Majlis Ulang Tahun MPS Ke-40 yang diadakan melalui Zoom hari ini.
Abang Johari berkata, satu jawatankuasa dibentuk untuk pembangunan semula Bukit Assek.
Beliau juga telah meminta Unit Perancang Ekonomi (EPU) bekerjasama dengan Lembaga Pembangunan dan Lindungan Tanah (LCDA) untuk tujuan tersebut.
"Ini adalah tugas yang penting kerana ia memerlukan banyak kerjasama dalam kalangan agensi serta penduduk di Bukit Assek,” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri telah mengenal pasti Bukit Kemuyang sebagai satu lagi pusat untuk memperluaskan Pelan Pembangunan Semula Sibu.
Jelasnya, Bukit Kemuyang akan dihubungkan dengan Bukit Lima dan Kampung Nangka yang akan menjadi kawasan bandar dan komersial memandangkan Sibu memerlukan tanah yang lebih baik untuk pembangunannya.
"Kita kena rancang Sibu sedemikian rupa supaya akan ada kemasukkan orang ramai dan pada masa sama kita boleh membangunkan hartanah di Sibu yang pastinya menjadi sumber pendapatan kepada bandar itu,” katanya.
Mengenai pengisytiharan Bukit Lima sebagai rizab alam semula jadi, beliau berkata ia akan menjadi kawasan hijau untuk Sibu.
Ini, katanya, sama dengan Rizab Semula Jadi Piasau di Miri dan juga di Kuching yang terletak berhampiran kawasan perindustrian.
Abang Johari yang menyatakan sokongannya kepada idea mengubah Sibu menjadi bandar pintar dan turut bersetuju menaik taraf infrastruktur digital di sini bagi tujuan tersebut.
Katanya, beliau telah mengarahkan Sarawak Multimedia Authority (SMA) untuk bekerjasama dengan MPS bagi memastikan sambungan internet pantas di sini. "Dalam pada itu, saya berharap rakyat di Sibu akan terus bersatu.
"Kami mempunyai visi untuk Sibu dan akan menyokong visi MPS untuk mentransformasikan Sibu sebagai sebuah bandar raya menjelang 2031 dengan memberi mereka apa sahaja bantuan yang mereka perlukan," katanya.
Turut menyertai sesi Zoom ialah Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dato Sri Dr Sim Kui Hian, Menteri Muda Kerajaan Tempatan Datu Dr Penguang Manggil, Menteri Muda Kerajaan Tempatan dan Perumahan Dr Annuar Rapaee dan pengerusi MPS Clarence Ting.
utusanborneo.com.my/2021/11/02
|