REMUK: Pacuan empat roda warga emas terbabit mengalami kerosakan teruk.
TAWAU: Seorang lelaki warga emas mengalami detik cemas selepas kenderaan pacuan empat roda yang dipandunya tiba-tiba terbabas di Batu 9 Jalan Apas, di sini petang tadi.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kemalangan tersebut berlaku kira-kira jam 2.15 petang melibatkan sebuah kenderaan pacuan empat roda. Katanya, kejadian berlaku ketika pemandu yang berumur 64 tahun itu dalam perjalanan dari Semporna menuju ke tempat kerjanya di Perdana Jaya, di sini.
“Semasa melalui jalan selekoh di lokasi kejadian, lelaki berkenaan hilang kawalan pemanduannya menyebabkan kenderaannya terbabas ke pembahagi jalan dan terbalik.
“Kenderaan mangsa juga turut melanggar sebatang tiang lampu jalan dan memasuki laluan arah bertentangan sebelum melanggar sebuah lagi kenderaan,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini hari ini.
Peter berkata, warga emas berkenaan mengalami kecederaan di bahagian tangan kanan, manakala kenderaannya mengalami kerosakan hampir keseluruhannya.
“Siasatan awal, kemalangan itu berpunca daripada kecuaian pemanduan warga emas terbabit yang menyebabkan kenderaannya hilang kawalan sehingga melanggar kenderaan dilaluan bertentangan.
“Bagaimanapun, pemandu warga emas terbabit tidak disyaki mabuk dan kes disiasat mengikut Rule 10 LN 166/59,” katanya.
utusanborneo.com.my/2021/11/03
|