Gemas: Remaja perempuan yang dilaporkan menghilangkan diri dari rumah keluarganya di Felda Jelai 4, di sini, sejak Isnin lalu mengayuh basikal ke rumah ibu saudaranya di Jasin, Melaka, sejauh kira-kira 50 kilometer.
Norhaslinda Tuliman, 43, ibu kepada Nurbatrisyia Muhammad Syafiq, 18, berkata, dia terkejut selepas mendapat panggilan daripada adiknya yang tinggal di Jasin memaklumkan remaja itu berada di rumahnya, 7.30 malam tadi.
"Adik saya, Noramira Tuliman, 27, secara tiba-tiba menghubungi saya dan bertanya kenapa anak saya datang ke rumahnya. Saya juga terkejut Baby boleh pergi sejauh itu.
"Daripada cerita yang diberitahu adik saya, Baby mengayuh basikal ke rumahnya di Jasin dan tiba ketika Maghrib semalam. Noramira memang tidak tahu mengenai kejadian kehilangan Baby," katanya ketika dihubungi.
Norhaslinda berkata, ibunya bersama seorang lagi adik bergegas ke Jasin malam tadi untuk membawa pulang anak kedua daripada empat beradik itu, namun remaja berkenaan enggan.
"Saya bagaimanapun bersyukur kerana keadaannya selamat walaupun dia tidak mahu pulang. Mungkin dia masih merajuk dengan saya dan perlu berehat selepas mengayuh basikal sejauh kira-kira 50 km selama tiga hari.
"Cuma saya berharap dia akan balik nanti. Laporan polis sudah ditarik semula selepas kami mendapat berita dia ditemui semula," katanya lega.