Yii dan Julaihi di hadapan bangunan Dewan Bandaraya Miri.
MIRI: Bangunan Dewan Bandaraya Miri adalah simbol kemajuan Miri dari sebuah pekan minyak kepada sebuah bandar raya peranginan hijau utama di Utara Sarawak.
Datuk Bandar Adam Yii berkata, bangunan tersebut juga akan menjadi mercu tanda dan tarikan terbaharu Miri.
Beliau memberitahu, majlis perasmian akan disempurnakan Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg pada 15 November ini.
"Bangunan ini adalah mercu tanda baharu untuk Miri dan lambang kemajuan Miri," katanya semasa ditemui ketika memulakan tugas di pejabat baharunya di dewan itu hari ini.
Turut memulakan tugas di pejabat baharu ialah Timbalan Datuk Bandar Julaihi Mohamad.
Menurut Yii, bangunan mengambil tempoh masa selama 28 bulan untuk siap.
Projek yang sepatutnya siap pada 24 Disember tahun lalu telah tertangguh selama 10 bulan kerana Prosedur Operasi Standard (SOP) pencegahan jangkitan COVID-19.
"Kebanyakan jabatan telah berpindah ke sini. Jabatan pertama yang berpindah ialah pentadbiran. Minggu lalu yang berpindah ialah Jabatan Kejuruteraan," jelasnya.
Seramai 350 kakitangan akan ditempatkan di dewan itu yang terletak di Marina Parkcity.
Beliau memberitahu, masih tiga jabatan beroperasi di bangunan lama.
Jabatan ialah penguatkuasaan, kesihatan awam dan kebersihan awam.
"Kita melihat ke hadapan bandar raya Miri akan lebih maju. Petunjuk pada masa ini yang 2022 akan menjadi tahun lebih baik.
Sempena meraikan ulang tahun ke 17 pada tahun hadapan, Majlis Bandaraya Miri (MBM) bercadang meraikan sambutan di dewan tersebut.
Miri mencapai status bandar raya pada 20 Mei 2005.
utusanborneo.com.my/2021/11/05
|