Seorang lelaki warga emas maut selepas dirempuh oleh sebuah kenderaan ketika melintas jalan raya di Batu 2 Jalan Apas, di Tawau petang kelmarin.
Ketua Polis Daerah Tawau, Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata kejadian tersebut berlaku kira-kira jam 4.40 petang.
“Difahamkan, mangsa yang berumur 64 tahun itu dari arah rumahnya menuju ke kedai di seberang jalan untuk membeli kelapa.
“Ketika cuba melintas jalan berhampiran lampu isyarat di lokasi kejadian, sebuah kenderaan dari arah Batu 3 Jalan Apas telah merempuh mangsa,” katanya dalam kenyataan media seperti yang dilaporkan Utusan Borneo.
Menurutnya, pemandu kenderaan yang melihat mangsa berlari ketika menyeberang jalan bertindak membunyikan hon, selain menekan brek secara mengejut.
“Namun, jarak yang terlalu dekat, kenderaan berkenaan tidak dapat mengelak dan terus merempuh mangsa.
“Mangsa tercampak ke arah cermin hadapan kenderaan terbabit yang mengakibatkan dia mengalami kecederaan parah di bahagian kepala,” katanya . Peter berkata, mangsa kemudiannya dibawa ke Unit Kecemasan Hospital Tawau, namun disahkan meninggal dunia kira-kira jam 7 malam ketika menerima rawatan.
“Siasatan lanjut masih diteruskan bagi mengenalpasti punca sebenar kemalangan berlaku dan polis juga sedang mengesan saksi bebas untuk membantu siasatan.
“Kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
|