[size=0.8]Oleh: Baharom Bakar - November 6, 2021 @ 10:16am[email protected]
Mohd Rosman (dua kanan) dan Abdullah Zawawi (kanan) melakukan pemantauan keadaan air laut di Pantai Miami, Teluk Ketapang, Kuala Nerus, hari ini. Foto NSTP/Baharom Bakar
KUALA TERENGGANU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) negeri mengenal pasti sebanyak 22 kampung, terutama di tepi pantai dan sungai di negeri ini berisiko banjir susulan fenomena air pasang besar.
Pengarah APM negeri, Leftenan Kolonel (PA) Mohd Rosman Abdullah, berkata antara kawasan yang berisiko adalah Kampung Kuala Ibai di Kuala Terengganu; Kuala Besut dan Kampung Pengkalan Atap di Besut; Kampung Seberang Pintasan di Dungun; Kampung Baru Kemasik di Kemaman; dan Rusila di Marang.
"Kalau ikut maklumat yang kita terima daripada JPS (Jabatan Pengairan dan Saliran), air pasang besar dijangka bermula 5 hingga 13 November dan untuk kali kedua akan bermula 19 November hingga 28 Disember, dengan kadar ketinggian ombak dijangka pada 2.4 meter sehingga 2.9 meter.
"Ia boleh mengakibatkan banjir sekiranya air pasang besar berlaku bersama dengan hujan lebat berterusan.
"Jadi APM bersama agensi lain seperti Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sentiasa melaksanakan pemantauan secara berkala, bagi memastikan semua penduduk di kawasan sekitar yang berisiko itu sentiasa berada dalam keadaan selamat," katanya ketika meninjau fenomena air pasang besar di Pantai Seberang Takir, di sini malam tadi.
Hadir sama, Ketua Balai Bomba Kuala Nerus, Penolong Kanan Penguasa Bomba, Abdullah Zawawi Mohamad.
Sehubungan itu, Mohd Rosman meminta penduduk yang tinggal di tepi pantai dan berhampiran tebing sungai diminta sentiasa berwaspada serta segera berpindah ke kawasan lebih selamat jika berlaku pertembungan air.
Katanya, kampung yang dikenal pasti akan terkesan jika berlaku pertembungan air pasang besar adalah yang terletak di tepi pantai dan berhampiran tebing sungai.
"Setakat ini, keadaan masih terkawal walaupun dilaporkan akan berlaku air pasang besar dengan aras ketinggian ombak mencecah antara 2.4 meter dan 2.8 meter.
"Tinjauan dan pemantauan di beberapa pantai mendapati keadaan ombak tidak setinggi seperti jangkaan awal berikutan ketiadaan angin dan hujan," katanya.
Mengenai tahap pematuhan orang ramai, Mohd Rosman berkata, kesedaran orang ramai mengenai keselamatan masih rendah apabila ramai pengunjung didapati masih mengunjungi pantai untuk merakam gambar dan melihat percikan ombak.
Sementara itu, tinjauan di Pantai Miami dan Pantai Batu Burok mendapati, lebih 1,000 pengunjung termasuk kanak-kanak mengunjungi pantai.
Tinjauan juga mendapati ada antara pengunjung berkelah sambil makan dan minum di atas benteng pemecah ombak bersama keluarga walaupun berlaku percikan air laut.