KUCHING: Parti Keadilan Rakyat (PKR) Sarawak menggesa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri ke-12 (PRN12) pada 2 Januari 2022.
Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sarawak dalam kenyataannya hari ini, berkata dengan mengadakan PRN12 pada tarikh itu, ia akan memberi keadilan kepada semua pihak termasuk parti-parti yang bertanding dan pengundi 18 tahun (Undi 18) mendapat peluang mengundi.
"Dalam mesyuarat tergempar MPN Sarawak berlangsung secara Zoom pada 5 Nov 2021, semua ahli mesyuarat bersetuju meminta SPR menetapkan tarikh PRN12 Sarawak sejauh mungkin dalam tempoh 60 hari (selepas proklamasi Darurat (Sarawak) ditamatkan pada 3 Nov 2021) iaitu pada 2 Januari 2022.
"Ini penting kerana KEADILAN (PKR) Sarawak berpendirian tarikh ini sahaja memberi keadilan kepada semua pihak termasuk parti-parti yang bertanding dan memberi peluang kepada Undi 18 dapat mengundi," katanya sambil menambah Undi 18 akan berkuat kuasa selepas 31 Disember 2021.
MPN Sarawak menambah, dengan data menunjukkan Sarawak merekodkan jumlah kematian akibat COVID-19 tertinggi di Malaysia, tarikh PRN-12 dicadangkan itu (2 Januari 2022) adalah wajar.
"KEADILAN Sarawak sangat kesal dengan permintaan kerajaan GPS (Gabungan Parti Sarawak) diketuai Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menyegerakan pembatalan Ordinan Darurat Sarawak, sedangkan mereka yang telah meminta Darurat dilaksanakan bagi mengekang COVID-19 di Sarawak...Darurat Sarawak sepatutnya tamat pada 2 Februari 2022.
"Pembatalan Proklamasi Darurat (Sarawak) dan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (Sarawak) 2021 pada 3 November lalu, oleh Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah atas permintaan Kerajaan Sarawak.
"Dengan pembubaran pada 3 November, Pilihan Raya Negeri Sarawak hendaklah diadakan dalam masa 60 hari iaitu sehingga 2 Januari 2022 menurut Perkara 21(4) Perlembagaan Negeri Sarawak," jelasnya.
utusanborneo.com.my/2021/11/07
|