KOTA KINABALU: Akibat palsukan dokumen, seorang pemilik syarikat dikenakan hukuman penjara tiga hari dan denda sebanyak RM24,000 oleh Mahkamah Khas Rasuah di sini hari ini.
Tertuduh Mohd Fauzi Abd Sahid, 33, mengaku bersalah menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan Tender Perkhidmatan Membekal Makanan Bermasak Ke Asrama Sekolah.
Hakim Abu Bakar Manat menjatuhkan hukuman itu selepas tertuduh mengaku bersalah terhadap tiga pertuduhan menggunakan dokumen palsu bagi mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah Semporna bagi tempoh kontrak antara 1 Mac 2017 hingga 28 Februari 2019.
Dalam pertuduhan pertama, tertuduh didakwa menggunakan penyata akaun simpanan Agro Bank Syarikat Pemborong Mohd Fauzi Bersaudara yang palsu bagi Julai 2016 untuk mendapatkan tender perkhidmatan membekal makanan bermasak ke asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Datuk Panglima Abdullah Semporna pada 24 November 2016 bertempat di Jabatan Pendidikan Negeri Sabah.
Bagi pertuduhan kedua dan ketiga, Mohd Fauzi turut didakwa mengemukakan penyata akaun simpanan Agro Bank atas nama syarikat yang sama bagi Ogos dan September 2016 untuk tujuan yang sama pada tarikh dan tempat yang sama.
Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 471 Kanun Keseksaan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 465 Kanun yang sama untuk ketiga-tiga kesalahan terbabit.
Mohd Fauzi dijatuhi hukuman penjara selama sehari dan denda RM8,000 bagi setiap pertuduhan dengan jumlah denda RM24,000. Bagaimanapun, hukuman penjara itu berjalan serentak.
Kes dikendalikan Pegawai Pendakwa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Norsham Saharom dan tertuduh diwakili peguam daripada Tetuan Nohin & Partners.
utusanborneo.com.my/2021/11/08
|