Kota Bharu: Hanya dengan RM1, pelanggan boleh menikmati pelbagai menu yang disediakan di kedai makan milik Wan Hazimi, Wan Hamat di Kampung Sungai Budor, di sini.
Bubur nasi, mi dan kuetiau goreng atau sup, pengat pisang, aneka bubur antaranya bubur kacang, jagung serta pulut hitam dijual dengan harga serendah itu sekali gus menjadikan premis yang agak tersorok itu sering dipenuhi pelanggan.
Wan Hazimi, 53, berkata, pelbagai menu yang dijual dengan RM1 itu sudah hampir 10 tahun diperkenalkan dan harga itu tetap tidak berubah walau ada peningkatan harga bahan mentah.
"Saya sudah berniaga sejak 20 tahun lalu. Pada awalnya rata-rata makanan dijual dengan harga 50 sen, 10 tahun kemudian dinaikkan menjadi RM1.
"Pelanggan yang datang ke sini kebanyakan penduduk sekitar termasuk beberapa kampung berhampiran tapi sejak ditularkan kebelakangan ini, pelanggan semakin ramai datang menyebabkan kami tidak menang tangan," katanya ketika ditemui di premisnya di sini, hari ini.
Premis yang diusahakan Wan Hazimi bersama isterinya, Rozira Hassan, 49, yang turut dibantu anak perempuan mereka, Wan Nor Fazlin Hani, 26, itu dibuka pada Ahad sampai Khamis bermula 11.30 pagi sehingga 6.30 petang.
Lokasi premis mereka yang perlu melalui celah lorong beberapa rumah yang dicat seperti pelangi, menjadikan ia sedikit sukar ditemui namun penempatan 'Rumah Pelangi' yang sering dikunjungi orang ramai dan menjadi mercu tanda memudahkan penemuan itu.
Sering ditanya mengenai perolehan hasil daripada jualan yang disifatkan sangat murah dan jarang ditemukan di mana-mana premis makan sekarang ini, Wan Hazimi berkata, mereka masih memperoleh keuntungan walau tidak banyak.
"Kami masih memperoleh untung walau tidak banyak kerana bagi saya apa yang penting adalah perlu bijak menguruskan kewangan.
"Setakat ini kami belum berhasrat untuk menaikkan lagi harga walau baru empat bulan kedai baru beroperasi kembali disebabkan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP)," katanya.
Seorang pelanggan, Nazira Ibrahim, 41, berkata, dia kerap datang ke kedai makan itu disebabkan harga murah dan aneka menu yang sedap.
Katanya, biasanya wang yang dibawa sekitar RM10 hingga RM20 sudah mampu 'mengenyangkan' mereka lima beranak berbanding kedai lain yang mungkin mencecah sekali ganda harganya.
"Selain murah, makanannya juga sedap dan pada masa sekarang memang susah didapati di mana-mana premis makanan lain," katanya.