CariDotMy

 Forgot password?
 Register

ADVERTISEMENT

View: 533|Reply: 0

[Sarawak] BKSS - Permohonan PKS dibuka hingga 13 Nov

[Copy link]
Post time 9-11-2021 05:59 AM | Show all posts |Read mode


KUCHING, 8 Nov (Bernama) -- Kerajaan Sarawak membuka semula portal dalam taliannya di www.sarawak.gov.my dari 30 Okt hingga 13 Nov bagi membantu perusahaan kecil dan sederhana (PKS) aktif yang masih belum menerima bantuan kewangan sekali bayar di bawah inisiatif Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 7.0 kerana tidak dapat menyediakan dokumen lengkap semasa membuat permohonan.

Pengarah Unit Perancang Ekonomi Negeri, Datuk Dr Muhammad Abdullah Zaidel berkata ini kerana apabila permohonan bagi bantuan itu ditutup pada 22 Okt lepas, pihaknya mendapati ramai pemohon bantuan itu telah mengemukakan dokumen tidak lengkap dan tidak sah.

“Kerajaan Sarawak ikhlas dalam membantu komuniti perniagaan, sehubungan itu kami menggesa pihak syarikat berkaitan supaya segera menyerahkan maklumat dan dokumen mereka melalui portal dalam talian Sarawak supaya bantuan kewangan dapat dibayar selewat-lewatnya bulan Disember,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata untuk kemudahan pemohon, e-mel telah dihantar dalam tiga bahasa iaitu Mandarin, Inggeris dan Bahasa Malaysia kepada semua bakal penerima pada 30 Okt lepas dengan mengetengahkan maklumat mengenai dokumen-dokumen yang perlu diserahkan semasa membuat permohonan, dan ia turut disertakan dengan video pendek mengenai manual dan garis panduan mengisi portal dalam talian itu untuk rujukan.

“Maklumat ini diminta bukan dengan tujuan membebankan syarikat, tetapi ia sebahagian daripada mekanisme tadbir urus yang baik bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam menguruskan dana awam,” katanya.

Muhammad Abdullah berkata satu jawatankuasa penilaian khas melibatkan unitnya, Jabatan Peguam Negara Negeri, Pejabat Setiausaha Kewangan Negeri, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) Sarawak dan dua kementerian negeri telah dibentuk bagi melaksanakan langkah-langkah pengagihan BKSS 7.0 dan BKSS 7.0 Plus, sebagaimana yang diumumkan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg sebelum ini.

“Bantuan kewangan ini disumbangkan bagi membantu komuniti perniagaan (Sarawak) yang terjejas teruk akibat pandemik COVID-19,” katanya.

Beliau berkata jawatankuasa itu telah meluluskan sumbangan kepada 46,000 PKS dan perusahaan mikro yang layak berdasarkan senarai yang disediakan oleh Perkeso, dan kumpulan pertama pembayaran telah dibuat kepada penerima yang layak selepas mereka menyerahkan dokumen yang lengkap dan sah.

BKSS 7.0 dan BKSS 7.0 Plus melibatkan bantuan khas sekali bayar sebanyak RM10,000 kepada perniagaan aktif di Sarawak yang berdaftar dengan Perkeso.

-- BERNAMA



Rate

1

View Rating Log

Reply

Use magic Report

You have to log in before you can reply Login | Register

Points Rules

 

ADVERTISEMENT



 

ADVERTISEMENT


 


ADVERTISEMENT
Follow Us

ADVERTISEMENT


Mobile|Archiver|Mobile*default|About Us|CariDotMy

31-1-2025 06:50 PM GMT+8 , Processed in 0.048661 second(s), 11 queries , Gzip On, Redis On.

Powered by Discuz! X3.4

Copyright © 2001-2021, Tencent Cloud.

Quick Reply To Top Return to the list